Thursday, July 24, 2008

ABU UBAIDAH AL-JARRAH

oleh: abu 'iyash


ABU UBAIDAH AL-JARRAH

Beliau ialah salah seorang sahabat Rasululah SAW yang dijanjikan syurga secara khusus olah baginda SAW. Nama beliau yang sebenar ialah ‘Amir bin Abdullah bin Al-Jarrah Al-Qurasyi Al-Fihri, salah sebuah kabilah di Mekah. Bertemu nasabnya dengan Nabi SAW pada datuknya yang ke-7, Fihr bin Malik. Bapanya, Abdullah membesar dan mati dalam agama kaumnya. Tetapi ibunya, Umaimah binti Ghanim bin jabir memeluk Islam semasa hayat Nabi SAW.

Abu Ubaidah Al-Jarrah seorang yang kurus, redup wajahnya, berjanggut nipis serta tinggi tubuhnya. Dia juga mengenakan inai pada janggutnya. Sebahagian ahli sejarah menyifatkan sifat dan juga akhlaknya saling tidak tumpah seperti Abu Bakar As-Siddiq RA. Beliau dilahirkan di Mekah pada tahun ke-27 sebelum kenabian, yakni sebaya dengan Umar Al-Khattab RA dan lebih muda dari Rasulullah SAW 13 tahun.

Semasa zaman mudanya, beliau banyak menghabiskan masanya dengan amalan-amalan kufur dan syirik kafir Quraisy, jahil dengan tujuan hidup sebenar insan di alam ini, memuliakan adat resam Arab serta mempertahankan upacara-upacara berhala. Beliau juga turut terlibat dalam urusan perniagaan warisan keluarganya, sering berulang-alik dalam menguruskan barang dagangannya selain berkhidmat kepada kedua-dua orang tuanya. Selain itu, Abu Ubaidah juga aktif dalam majlis-majlis jahiliah untuk membesar-besarkan Kaabah sebelum memeluk Islam ketika berumur 27 tahun.

Amir bin Abdullah lebih terkenal dengan jolokannya Abu Ubaidah setelah beliau memeluk Islam. Malah, Rasulullah SAW juga memanggilnya dengan gelaran tersebut. Tambahan lagi, baginda SAW telah melantiknya untuk memegang jawatan yang paling penting di sisi baginda SAW iaitu sebagai ‘Aminul Ummah’, tidak lain dan tidak bukan bagi memegang amanat dan rahsia Nabi SAW dan juga umamh seluruhnya. Oleh kerana itu, beliau banyak berdamping dengan Nabi SAW selian terlibat dalam peperangan dan peristiwa-peristiwa penting Islam sepanjang hayat baginda SAW.

Dalam meriwayatkan hadis, beliau hanya meriwayatkan hanya 15 buah hadis, iaitu yang dimuatkan dalam kitab-kitab sunnah. Antara sahabat RA yang meriwayatkan hadis dari beliau termasuklah Jabir bin Abdullah, Samurah bin Jundub, Abu Umamah Al-Bahili, ‘Irbadh bin Sariah, Abu Tha’labah Al-Khusyani dan ramai lagi. Manakala dari kalangan tabien pula ialah Aslam hamba Umar, Abdul Rahman bin Ghanam Al-‘Asyaari, ‘Iyadh bin ‘Uthaif, Qais bin Abu Hazim dan Nashirah bin Suma.

Abu Ubaidah RA juga terlibat dalam pembukaan tanah-tanah jajahan Islam semasa khilafah Abu Bakar dan Umar RA, termasuklah pembukaan Dimashq dan tanah Syam seluruhnya. Hayatnya dijemput ke sisi Allah SWT akibat taun pada tahun 18H, riwayat termasyhur dari para sejarawan. Umurnya ketika itu ialah 58 tahun.

kembali kepada al-quran sunnah

oleh: abu muslim

Keadaan umat Islam kini yang penuh dengan ketegangan, kefasadan, pembantaian demi pembantaian, pembunuhan secara zalim dan begitu tragis yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam terhadap umat Islam. Namun umat Islam masih tidak atau kurang sedar terhadap keadaan-keadaan yang berlaku terhadap mereka. Penyelewengan aqidah, keruntuhan akhlak, sistem-sistem ekonomi dan politik yang menindas serta perpecahan demi perpecahan merupakan penyakit-penyakit yang menimpa umat Islam di samping penindasan yang dilakukan oleh musuh Islam terhadap mereka. Hakikatnya, kesan daripada penyakit-penyakit yang menimpa ummah Islamiyyah ini menyebabkan nilai seorang muslim atau seorang mukmin(Believer) dimata masyarakat seperti buih-buih di lautan(Ghusa’a As-Sail) yang tiada nilainya sepertimana yang digambarkan oleh sabda Nabi SAW :

(( يوشك أن تداعى عليكم الأمم كما تداعى الأكلة علي قصعتها...قالو : أمن قلة نحن يومئذ يا رسول الله ؟ قال : " إنكم يومئذ كثير، ولكنكم غثاء كغثاء السيل. ولينزعن الله المهابة من صدور أعدائكم وليقذفن في قلوبكم الوهن" قالو وما الوهن يا رسول الله ؟ قال " حب الدنيا وكراهية الموت")) - رواه أحمد والترمذى –
“ Akan datang pada suatu masa , musuh-musuh kamu akan datang berkerumun kepada kamu , sepertimana berkerumunya mereka kepada satu hidangan (yang lazat) , Mereka (sahabat) pun berkata: “Adakah bilangan kami ketika itu sedikit wahai Rasulullah ?”, Rasulullah pun berkata: “Bahkan kamu ketika itu ramai , tetapi kamu seperti buih-buih dilautan (tiada nilai) dan Allah akan mencabut perasaan gerun di hati musuh-musuh kamu dan Allah akan mencampakkan kedalam hati kamu penyakit Al-Wahn .” Sahabat pun bertanya : “Apakah penyakit Al-Wahn itu wahai Rasulullah ?” Rasulullah pun bersabda : “Cintakan dunia dan bencikan mati”
(Riwayat Ahmad & Tarmizi)

Hadith diatas menunjukkan kepada kita gambaran-gambaran yang begitu jelas ,waqie’i dan hakiki(Factually & Reality) berlaku kepada umat Islam kini, iaitu mereka diibaratkan seperti buih-buih di lautan yang tiada nilai sedikitpun. Faktor utama yang menyebabkan mereka sebegini ialah “ Al-Wahn”(Cintakan dunia & benci mati). Dengan apakah umat Islam akan terselamat daripada penyakit-penyakit ini serta apakah faktor-faktor yang menyelamatkannya..? Rasulullah s.a.w bersabda:
(( تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما مسكتم بهما : كتاب الله وسنة نبيه))
“ Aku tinggalkan untuk kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengannya iaitu Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya”

Secara zahirnya, kita memahami hadith di atas mengatakan bahawa umat Islam akan terselamat daripada kesesatan dan penyelewengan ialah dengan berpegang dengan Al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Namun disana terdapat satu lagi persoalan yang begitu penting dalam menjamin ummah Islamiyyah terselamat daripada kesesatan dalam lingkungan berpegang kepada Al-qur’an dan Sunnah, iaitu bagaimanakah cara kita berpegang serta memahami Al-qur’an dan Sunnah?

Ironinya, kita dapat melihat beberapa golongan-golongan jahil yang menisbatkan diri mereka sebagai “pembela agama” cuba menafsir ayat-ayat al-quran dan hadith mengikut kefahaman mereka yang sesekali bertentangan denga Syari’ah Islamiyyah, berdalilkan kepada kebebasan mutlak, atau “Huriyyah Ta’bir”( Freedom of opinion) .Mereka ini merupakan golongan yang dikenali sebagai pembawa ideologi “Islam Liberal” yang meletakkan kebabasan secara mutlak merangkumi kebebasan peribadi, masyarakat, ekonomi, politik dan lain-lain.

Oleh itu, dalam menjamin konsisten dan kesucian makna-makna al-quran dan sunnah dan menghadkan sumber pensyariatan(Legislation), alim-ulama’ daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah telah menetapkan satu method atau prinsip dalam memahami Al-quran dan sunnah secara benar iaitu :

" والقرآن الكريم ، والسنة المطهرة مرجع كل مسلم في تعرف أحكام الإسلام ،
ويفهم القرآن طبقا لقواعد اللغة العربية من غير تكلف ولا تعسف ،
ويرجع في فهم السنة المطهرة إلي رجال الحديث الثقات "
“ Al-quran Al-karim dan Sunnah Rasulullah SAW merupakan sumber rujukan bagi setiap muslim dalam memahami hukum-hukum Islam. Al-qur’an hendaklah difahami mengikut kaedah-kaedah bahasa Arab tanpa memberat-beratkan dan tidak pula membabibuta. Sunnah pula difahami melalui periwayat-periwayat hadith yang thiqah.”
(Usul 20 Al-Banna)

Umat Islam seluruhnya telah bersepakat bahawa al-quran dan sunnah merupakan dua rujukan asas bagi pensyariatan Islam. Setiap persoalan khilaf(perselisihan) yg terjadi, maka sumber rujukan perselisihan tersebut diukur dengan nas-nas al-qur’an dan sunnah. Nas-nas Al-quran dan Sunnah merupakan nas berbahasa arab. Oleh itu al-quran dan sunnah hendaklah difahami dengan kaedah-kaedah bahasa arab dalam uslub masyarakat arab dalam pergaulan mereka. Firman Allah SWT :
((فإن تنازعتم في شيء فردوه إلي الله والرسول إن كنتم تؤمنون با الله واليوم الآخر))
“ Maka , jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu perkara , maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul sekiranya kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat”(an-nisa’: 59)

Al-Imam Ibn Hazm menjelaskan bahawa : “Tiada perselisihan diantara kumpulan-kumpulan yang dilabelkan oleh muslimin daripada Ahli Sunnah wal Jamaah , Muktazilah, Khawarij ,Mur’jia , dan Zaidiyyah tentang kewajipan mengambil sumber daripada Al-quran .. … tetapi hanya yg berselisih dengannya ialah kelompok daripada pengikut-pengikut ekstrim Syiah Raafidah , mereka merupakan kuffar dan musyrik di sisi ahli Islam” –( Ibn Hazm : Al-Ihkam) Imam As-Syathibi berkata : “ ..berkata sesuatu tentang al-quran dan sunnah tanpa ilmu merupakan takalluf memberat-beratkan/sukar&tidak terdaya) dan kita telah dilarang daripada memberat-beratkan, dan termasuk dibawah makna hadith ini :

(( حتي إذا لم يبق عالم اتخذ الناس رؤساء جهالا))
“ Sehingga tiada lagi Alim Ulama’, manusia akan mengambil/ melantik orang-orang yang jahil sebagai pemimpin”

Kerana apabila tiada pada mereka lisan arab (Bahasa Arab), mereka merujuk kepada Al-quran dan Sunnah Nabi SAW dengan kefahaman mereka yang A’jami(Asing daripada bahasa Arab), dan akalnya hanya terhad atau terbatas pada berpegang pada dalil-dalil yang menyesatkan daripada kebenaran” ( Jami’ Al-Usul / Al-I’tishom) Sepertimana dikatakan oleh Imam Mufassir Al-Mujahid Syiekh Manna’ Qhattan :

( لا يحل لأحد يؤمن باالله واليوم الآخر أن يتكلم في كتاب الله إذا لم يكن عالما بلغات العرب)
“ Tidak Halal, bagi seorang yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat , bercakap tentang Kitab Allah (Al-qur’an) sekiranya dia tidak mengetahui / mahir Bahasa Arab”
( مباحث في علوم القرآن للقطان)- -
Disini kita dapat melihat kepentingan mengetahui method atau prinsip dalam memahami al-quran dan sunnah serta kepentingan menghadkan sumber pensyariatan(Legislation) supaya setiap orang tidak mengambil atau meninggalkannya menurut hawa nafsunya tanpa dalil.

Kesimpulannya, ummah Islamiyyah hanya akan terselamat daripada penyakit-penyakit yang menimpa mereka kini hanya dengan kembalinya kepada kefahaman al-quran dan sunnah dengan method yang benar iaitu kefahaman yang tidak memberat-beratkan serta tidak membabi-buta dalam mengembalikan kemuliaan serta nilai eksistensi syakhsiyyah Islamiyyah(Moslem Personality) di hadapan mata masyarakat setempat secara khususnya dan dihadapan masyarakat dunia secara keseluruhannya .

هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ
“Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (dengan membawa) petunjuk (Al Qur'an) dan agama yang benar untuk dimenangkan-Nya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukai.” (At-Taubah 33)







Monday, July 7, 2008

Kesibukan-mu terletak pada apa yang engkau agendakan

oleh: abu muslim
همك على قدر ما أهمك
((Kesibukan-mu terletak pada apa yang engkau agendakan))


Satu ungkapan atau satu pepatah Arab yang tidak boleh dipandang biasa, memang ia merupakan satu unkapan yang pendek, tetapi ia merupakan satu ungkapan yang memberi satu makna atau satu alamat yang mennceritakan tentang segala pergerakan(harakah) yang beredar disekitar kehidupan manusia …

همك على قدر ما أهمك

Kita semua pernah berasa begitu sibuk, tiada masa, banyak kerja, (masygul) dan sebagainya. Sebagai seorang peniaga akan sentiasa sibuk untuk mendapatkan keuntungan yang tinggi, dalam konteks seorang plajar pula dia akan sibuk untuk mendapatkan kecemerlangan atau lulus dalam peperiksaan dan memang semua manusia akan sentisa disibukkan dengan pelbagai agenda dalam kehidupannya. Disini dapat dilihat dalam segala pergerakan manusia dari segi fizikal (tubuh badan) & mental (pemikiran) akan bergerak atau sibuk mengikut kepada apa yang telah diagendakan atau dirancangnya. Masalahnya ialah, perkara apakah yang kita sibukkan? Adakah perkara yang kita sibukkan itu merupakan satu yang penting dalam kehidupan kita?.... Hakikatnya, terdapat pelbagai jenis kesibukan dalam kehiupan manusia, ada yang begitu sibuk atau ghairah dengan PC Game, PS2,video game, menghantar SMS yang tidak berfaedah, mengulangkaji pelajaran, dan lain-lain. Firman Allah :
(Demi masa sesungguhnya manusia didalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan beramal salih dan berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran)

Satu kaedah telah ditetapkan oleh Allah Taala dalam ayat diatas iaitu :
· Manusia yang rugi ialah manusia yang tidak beriman kepada Allah.
· Manusia yang tidak beramal salih. (mengikut syara’).
· Menusia yang tidak berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran. (Amr makruf nahi munkar)

Sebaliknya, manusia yang beruntung ialah manusia yang beriman dengan sebenar-benar keimanan, beramal salih dengan melakukan sesuatu perkara mengikut tuntutan syara’ serta sentiasa beristiqomah menyeru manusia kepada kebenaran dan kesabaran .

Iman itu satu sistem yang mengumpul berbagai-bagai kegiatan dan amalan dan mengembalikannya kepada satu sistem, di mana kegiatankegiatan itu menjadi selaras, saling bantu membantu dan menuju ke satu jalan dan satu harakat yang mempunyai satu motif dan satu matlamat yang tertentu. Kerana itulah al-Qur'an mensia-siakan nilai segala amalan yang tidak berasal dari punca iman dan tidak terikat kepada paksi iman. Pandangan Islam dalam perkara ini amat jelas. Firman Allah 'Azzawajalla dalam Surah Ibrahim

مََّثُل الَّذِينَ َ كَفرُوْا بِرَبِّهِمْ َأعْمَاُلهُمْ كَرَمَادٍ اشْتَدَّتْ بِهِ الرِّيحُ فِي يَوْمٍ عَاصِفٍ لاَّ
يَقْدِرُو َ ن مِمَّا َ كسَبُوْا عََلى شَيْءٍ
18. "Bandingan amalan orang-orang yang kafir terhadap Tuhan mereka sama seperti abu yang ditiup angin pada hari ribut yang kencang. Mereka tidak dapat mengambil faedah sesuatu apa dari amalan-amalan yang mereka usahakan (di dunia)." (Surah Ibrahim)

Firman-Nya lagi dalam Surah an-Nur:

وَالَّذِينَ كَفرُواأعْمَاُلهُمْ كَسَرَاب بِقِيعَة يَحْسَبُهُ الظَّمْآن مَاء حَتَّى إَِذاجَاءهَ لمْ))
يَجِدْهُ شَيًْئا))
39. "Dan orang-orang yang kafir, amalan-amalan mereka adalah sama seperti bayangan air di padang datar, di sana si dahaga menyangkakannya air, tetapi apabila ia datang ke tempat itu, ia tidak dapati air sedikit pun." (Surah An-Nur)

Ini adalah nas-nas yang sorih yang menunjukkan seluruh amalan itu adalah sia-sia dan tidak berharga selama ia tidak bersandar kepada iman, kerana iman itulah yang membuat amalan itu mempunyai motif yang bersambung dengan Allah dan mempunyai matlamat yang sesuai dengan tujuan wujudnya di 'alam ini. Inilah pandangan 'aqidah Islam yang logik yang mengembalikan segala sesuatu kepada Allah. Sesiapa yang putus hubungan dengan Allah, akan putuslah ia dan akan hilanglah hakikat tujuannya.
Oleh itu bersegeralah melakukan amalan dengan ikhlas hanya kerana Allah semata-mata. Amalan yang dilakukan dengan ikhlas hendaklah bertepatan dengan syariat dan sunnah Rasulullah di samping mengharapkan penerimaan dan keredhaan dari Allah Taala. Selamat beramal.

Wednesday, July 2, 2008

jangan beralasan..

oleh: abu huzaifah


Kekuatan Islam semakin lama semakin tergugat dan pudar. Tersepit di celah undang-undang wadh’ei(buatan manusia) yang mengaburkan mata manusia. Hati-hati menjadi semakin malap dilindungi kilauan dunia yang palsu semata-mata. Masa semakin jauh menyedarkan kita tentang tugas dan tanggungjawab yang dipikul semakin berat.

Manusia semakin lalai, tidak sedar tentang tugas sebenar mereka. Kita tidak hairan jika mereka ini orang-orang kafir dan kufur dengan perintah Allah kerana mereka hanya menyeru kepada kemungkaran dan kesesatan yang nyata. Amat menyedihkan apabila kita sedar bahawa mereka ini terdiri daripada ahli keluarga, sahabat karib dan masyarakat sekeliling kita yang beriman kepada Allah ta’ala dan rasulNya. Mereka bersikap nafsi-nafsi bak kata pepatah “kubur lain-lain”, hanya memperbaiki diri sendiri dengan tanggapan dapat melepaskan diri sendiri dari ancaman dunia dan akhirat.

Ada diantara mereka yang mempunyai tanggapan bahawa jika dia sudah memperbaiki dirinya maka ia sudah tidah berkewajipan lagi untuk memperbaiki orang lain. Hujah yang digunakan ialah ayat al-quran:

Firman Allah ta’ala: “Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu sendiri; dan tiadalah membahayakan kepadamu orang yang telah sesat bila kamu telah mendapat petunjuk.” (al-Maidah : 105)

Hujah ini hanya digunakan oleh orang-orang yang suka bermalas-malasan, hanya suka mengasingkan diri, takut dan pengecut untuk menyampaikan dakwah Islamiah. Mereka merasa cukup bagi mereka beramal untuk diri mereka tanpa menghiraukan yang lain. Ini bermakna mereka mempunyai sikap mementingkan diri yang hanya akan membinasakan diri mereka sendiri. Tidak faham dan tidak tahu membezakan antara hukum fardhu dan sunat atau penting dengan yang lebih penting.

Tanggapan itu adalah suatu fahaman yang salah terhadap maksud ayat ini kerana ayat ini tidaklah bermaksud melarang kita daripada menyuruh kepada al-ma’ruf, melarang al-mungkar atau berjihad. Tetapi sebenarnya ayat ini menceritakan tentang orang-orang yang sesat di mana kesesatan mereka tidak akan membabitkan kita di sisi Allah ta’ala kerana mereka bertanggungjawab sendiri di atas perbuatan masing-masing dan kita bertanggungjawab sendiri atas perbuatan kita. Sesungguhnya para salafussaleh telah mentafsirkan ayat ini dengan tafsiran yang lain daripada orang-orang itu. -Jundullah, Said Hawwa

Daripada Qois bin Abi Hazim berkata, Abu Bakar r.a sesudah beliau menaiki mimbar dan memuji Allah, beliau berkata: Wahai manusia sesungguhnya kamu membaca ayat “Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu sendiri; dan tiadalah membahayakan kepadamu orang yang telah sesat bila kamu telah mendapat petunjuk.” Sesungguhnya kamu meletakkannya bukan pada tempatnya. Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya apabila manusia melihat kemungkaran dan mereka tidak mengubahnya adalah dibimbangkan Allah akan menyiksa mereka semua.

Dikeluarkan oleh ibnu Jarir daripada Sa’id bin Musayyab berkata tentang ayat itu: Apabila kamu sudah menegakkan al-ma’ruf dan mencegah al-mungkar, barulah tidak membahayakan kamu orang yang telah sesat bila kamu telah mendapat petunjuk. Huzaifah bin al-yaman pun menafsirkan perkara yang sama tentang ayat berikut. Orang yang mendapat petunjuk ialah mereka yang mengambil Islam sebagai manhaj hidup secara syumul(menyeluruh) dan Islam tidak akan bersifat syumul tanpa dakwah amrbilma’ruf wannahyu‘anilmungkar.

Kita dapat membuat kesimpulan bahawa kita dituntut melakukan dua perkara:

1- Merelakan diri untuk diperbaiki dalam proses tarbiah.

2- Beramal menyeru manusia supaya beriman kepada Allah dalam proses dakwah.

Dua proses yang amat berkait rapat untuk perkembangan Islam. Bangunlah dan buanglah semua tanggapan salah tentang Islam. Islam bukanlah satu agama yang statik dan hanya berada pada satu tempat, tetapi ia adalah agama yang bergerak ke seluruh tempat dan zaman, risalah yang diperjuangkan sebenarnya untuk sekalian umat di bumi. Bergeraklah dan bertiuplah seperti angin, bukan seperti buih-buih yang hanya bertebaran di pandangan mata, tetapi hanya dalam waktu yang singkat!!!...

terjemahan saidatina aisyah

oleh: abu 'iyash

Beliau ialah Sayyidatina Aishah binti Abu Bakar As-Siddiq, salah seorang ummahatul mukminin (isteri Rasulullah SAW). Beliau dikawini oleh Rasulullah SAW ketika masih di Mekah semasa umurnya 7 tahun,tetapi dicampuri oleh baginda SAW selepas hijrah ke Madinah. Aishah sempat bersama baginda dalam alam rumahtangga selama 8 tahun 5 bulan, dan merupakan antara isteri-isteri yang paling baginda sayangi. Maka hiduplah beliau di bawah asuhan secara langsung dari Nabi Muhammad SAW.

Sayyidatina Aishah adalah seorang yang cerdik serta rajin dalam menuntut ilmu. Beliau juga adalah individu yang paling banyak meriwayatkan hadis dari Rasulullah SAW lantaran kedudukan beliau sebagai isteri baginda SAW. Para sahabat baginda SAW yang lain seringkali merujuk kepada beliau untuk mendapatkan riwayat-riwayat hadis selain hukum-hakam agama. Malah beliau juga adalah seorang yang sangat faqih di antara isteri Nabi SAW dan menjadi pakar rujuk walaupun selepas kewafatan baginda Nabi.

Beliau juga terkenal seorang yang sabar dan tabah. Ini dapat dilihat dari peristiwa yang dikenali sebagai 'ifik' iaitu satu kejadian yang berpunca dari kaum munafiqin Madinah yang beliau telah berzina dengan salah seorang sahabat, Safwan ketika dalam perjalanan pulang dari satu peperangan. Namun, Maha Kaya Allah SAW telah membersihkan nama baik beliau dengan firman Al-Quran dalam Surah An-Nur. Selain itu, kesabaran serta ketabahan beliau juga teruji semasa menghadapi 'zaman fitnah' iaitu ketika menghadapi Saidina Ali bin Abu Talib dalam 2 peperangan iaitu Perang Jamal dan Perang Siffin.

Ummul Mukminin ini mengambil periwayatan secara terus dari baginda Nabi SAW, selain dari ayahnya Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, Fatimah puteri Rasulullah SAW, Saad bin Abi Waqqas, Usaid bin Hudhair, Juzamah binti Wahab dan Hamzah bin Amru.

Manakala para sahabat yang mengambil periwayatan dari beliau pula termasuklah Umar dan anaknya Abdullah, Abu Hurairah, Abu Musa Al-Asy'ari, Zaid bin Khalid, Ibnu Abbas, Rabi'ah bin Amru, Saib bin Yazid dan lain-lain. Dan dari kalangan tabi'en pula ialah Qasim dan Abdullah bin Muhammad bin Abu Bakar, Urwa bin Zubair, Said bin Musayyib, Amru bin Maimun,Alqama bin Qais, Masruq, Abdullah bin Hakim, Al-Aswad bin Yazid dan ramai lagi.

Abu Musa pernah berkata: "Apabila kami (para sahabat) mempunyai kemusykilan dalam hadis Nabi SAW maka kami akan merujuk kepada Aishah". Dan dari Qabisah bin Zuaib pula katanya: "Sesungguhnya Aishah orang yang paling alim dan menjadi pakar rujuk kepada para sahabat. Urwah dari kalangan tabi'en pula berkata: "Aku tidak pernah melihat orang yang lebih alim dari beliau", manakala dari Ali bin Mashar, katanya: "Beliau adalah orang yang paling arif dalam ilmu Al-Quran, halal dan haram, syair dan hadis".

Periwayatan Sayyidatina Aishah binti Abu Bakar dalam hadis nabawi SAW berjumlah 2210 buah hadis. Di dalam riwayat As-Sahihain jumlahnya 316 hadis; yang disepakati oleh kedua-duanya ialah 193. Manakala yang terdapat dalam Sahih Al-Bukhari sebanyak 53 hadis dan dalam Sahih Muslim pula berjumlah 68 hadis. Selain itu, hadis-hadis dari beliau juga turut dimuatkan dalam kitab-kitab hadis yang lain seperti kitab sunan dan musnad.

Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada malam Selasa 17 Ramadhan tahun 58 Hijrah, ,iaitu yang termasyhur di kalangan ahli sejarah.

muqaddimah

oleh: abu huzaifah


Syukur kepada Allah dan selawat serta salam ke atas ar-rasul, al mu’allim juga dan sebaik-baik qudwah. Rijal yang sanggup mengorbankan harta, waktu dan seluruh jiwa raga hanya demi melihat agama islam yang mulia tertegak berpaksi di atas muka bumi ini. Firman Allah ta’ala:

هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الأُمِّيِّينَ رَسُولاً مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمْ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلاَلٍ مُبِينٍ
“Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.” (al-Jum’ah:2)

Sebagai seorang muslim, kita perlu meneliti dan merenung sebanyak mungkin pengajaran dan istinbat yang boleh dikeluarkan daripada ayat ini. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang sedang memahami dan merasai keadaan umat yang semakin parah. Hadirnya seorang rijal ummi yang yakin mampu mengubah keadaan jahiliah kepada kefahaman dan keimanan kepada Allah ta’ala. Bermula daripada peringkat da’wah fardiah kepada pembentukan daulah dan sistem khilafah yang agung.

Saudara,
Mu’allim yang paling mulia secara hikmah membentuk kelompok manusia yang menjunjung tinggi risalah dakwah ini. Baginda tidak mengasingkan dunia dengan agama, tidak mengabaikan tanggungjawab keluarga di samping amalan soleh dan tidak melupakan sahabat dalam mencari rezki. Baginda adalah sebaik-baik qudwah bagi manusia. Firman Allah ta’ala:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.” (al-Ahzab: 21)

Dalam hadis riwayat ibnu majah bahawa Rasulullah s.a.w pernah sekali masuk ke dalam masjid yang mempunyai dua halaqoh. Halaqoh pertama sedang membaca al-quran dan berdoa kepada Allah ta’ala, manakala yang kedua sedang mengadakan pengajian. Baginda pun bersabda: Semuanya khoir. Bagi mereka yang membaca dan berdoa, dengan izin Allah, akan diperkenan atau sebaliknya. Bagi halaqoh kedua rasulullah s.aw bersabda: Sesungguhnya aku diutuskan sebagai mu’allim lalu baginda menyertai mereka.

Saudara,
Pembentukan peribadi muslim perlu menjadi batu asas kepada setiap kerja lebih-lebih lagi organisasi yang mendokong sesuatu fikrah. Kita perlu membentuk qudwah dan uswah dengan teliti. Meneliti dan mencungkil secara langsung atau tidak langsung sifat-sifat mahmudah seorang muslim sebagai teladan. Banyak perkara yang perlu dititik beratkan. Dalam perlantikan amir sesuatu urusan, sudah pasti kita memilih seorang yang paling baik dan berkeyakinan sifatnya, mempunyai kreteria sebagai seorang yang sanggup memikul amanah dan sanggup melaksanakan tugasnya. Memimpin dan mendidik melalui teladan supaya bersambung generasi pimpinan dengan baik. Inilah di antara kepentingan takwin fard muslim.

Pernah Saidina Umar berkata kepada sahabatnya: Impikanlah! Seorang pemuda berkata: " Aku mengimpikan sekiranya negeri ini dipenuhi dengan emas lalu aku infakkan pada jalan Allah." Omar berkata lagi: Impikanlah! Seorang pemuda berkata: "Aku mengimpikan jika negeri ini dipenuhi dengan batu permata lalu aku infakkan pada jalan Allah." Omar berkata lagi: Impikanlah! Mereka berkata: "Kami tidak tahu apa lagi yang hendak dikatakan wahai Amirul Mukminin" Omar pun berkata: "Tetapi aku mengimpikan rijal seperti Abu Ubaidah bin al Jarrah, Muaz bin Jabal dan Salim, hamba Abu Huzaifah. Lalu aku meminta pertolongan dari mereka untuk meninggikan kalimah Allah".

Saudara,
Kita tidak dapat menolak permulaan islam dengan seorang rasul yang berjaya meyampaikan risalah dan dakwah islam. Begitulah bermulanya islam yang kita anuti. Bermula dari kelompok yang kecil, kemudian berkembang dan terus merebak pesat ke seluruh alam. Asas atau akarnya ialah al-quran dan sirah perjuangan nabi s.a.w. Seruan baginda hanya kepada islam, memperkenalkan kepada manusia tuhan sebenar, menyedarkan manusia hakikat keimanan yang sebenar. Satu-satunya risalah agung yang dibawa oleh para anbiya’ terdahulu. Memantapkan aqidah, memberi kefahaman dan membetulkan amalan masyarakat agar manusia benar-benar yakin dengan risalah mereka. Hakikat yang perlu kita fahami dalam meneruskan tugas dan risalah para nabi. Adakah kita sanggup meneruskan perjuangan risalah ini?....

Firman Allah ta’ala:

إِنَّ اللَّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (ar-Ra’d: 11)

Wallahua’lam..

islam yang syumul

oleh: abu muslim


Kehidupan kini yang dipenuhi oleh nuansa-nuansa metarialistik, permainan nafsu yang bertebaran, serta isme-isme dan anasir-anasir Jahiliyyah yang datang menyerang secara ganas dan begitu tersusun menyerang Ummah Islamiyyah . Keadaan yang begitu menggerunkan serta menggoncangkan keimanan seorang Mukmin Al-Haq (Believer) dalam menempuhi kehidupan seharian sebagai seorang muslim . Kepada Ummah Islamiyyah secara umumnya dan kepada Harakah Islamiyyah secara khususnya haruslah menyediakan serta melengkapkan kepada anak-anaknya bekalan dalam menghadapi tribulasi kehidupan yang serba menawan dan mencabar kini. Secara zahirnya , kebanyakan manusia terutamanya ummat Islam hanya mampu melihat dan menonton keadaan mereka yang begitu tragis tanpa melakukan apa-apa dalam mengembalikan dan menegakkan kembali kebangkitan Islam (Sohwah Islamiyyah) serta Ke-Izzahan (Kemulian) ummah.

Dalam mengembalikan ke-Izzahan (Kemuliaan) ummat Islam , Ummah Islamiyyah haruslah mengetahui bahawa kemuliaan hanya akan dapat dikembalikan apabila ummat Islam kembali kepada Islam dan Iman yang sebenar , sepertimana kata-kata Saidina Ummar Al-Khattab :

(( نحن قوم أعزنا الله با الإسلام ، فمهما ابتغينا العز في غيره أذلنا الله))

“ Kita adalah kaum / ummah yang dimuliakan Allah dengan Islam , maka apabila kita mengharapkan kemulian selain daripadanya , kita akan dihinakan oleh Allah” –Tarikh khulafa’ Ar-Rasyidin- Dr. Al-Kholidy-

Islam yang sebenar ialah, Islam yang tidak hanya tertegak pada aspek dan syiar-syiar ibadat (Ritual & Worship) semata, juga tidak tertegak dengan sistem politik, ekonomi dan sosial semata-mata sepertimana fahaman golongan sekular,ahli-ahli sufi serta pengikut mereka yang hanya membataskan Islam dalam ruang lingkup spiritual (Ritual & Worship) semata-mata, tidak ada hubungannya dengan politik ,ekonomi ,sosial dan semua aspek kehidupan . Tasawwur serta perspektif yang bersimpang dengan ajaran Islam serta pemikiran-pemikiran jahiliyyah sebegini merupakan faktor utama kelemahan serta penyelewengan ummat Islam kini….. . Oleh itu, dengan apakah Islam akan tertegak ? … …. …. … ?

Rasulullah SAW bersabda kepada Qabilah Bani Syaiban bin Tha’labah ketika memperkenalkan diri baginda dalam berdakwah kepada qabilah-qabilah di Mekah maksudnya :

(( ما أسأتم الرد إذا أفصحتم بالصدق، إنه لا يقوم بهذا الدين إلا من أحاطه من جميع جوانبه))

“ Kamu tidak menolak secara jahat jika kamu menyatakan kebenaran . Sesungguhnya agama ini tidak akan ditegakkan melainkan oleh orang yang meliputinya dari segenap sudut ” – Sirah Nabawiyyah : Ibn Kathir –


Inilah hakikat Islam yang sebenar, Islam yang datang dengan risalah-Nya yang Aalamiyyah(Universal) dan unik, sistem pensyariatan yang dinamik , serta method tasawwur(Perspective) yang syamil(Comprehensive) sepertimana benarnya dan murninya para-para Sahabat dan Salafussoleh menyikapinya. Islam sesekali tidak dapat menerima aspek yang bersifat juz’iyyah(Serpihan) yang hanya menumpukan kepada satu sudut tertentu sahaja. Oleh itu Islam ialah satu sistem yang syumul(Comprehensive) yang merangkumi: (Negara dan watan atau pemerintah dan ummat. Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Material dan harta benda atau usaha dan kekayaan. Jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah . Sebagaimana ia juga adalah aqidah yang benar dan ibadat yang sah) – Usul 20 -

Pada hakikatnya perbuatan menjuzu’kan(memisah-misahkan) ajaran Islam adalah satu jenayah dan pengkhianatan(Infidelity) terkutuk yang dilakukan keatas Islam (Syari’at Allah). Allah menghendakinya sempurna dan telah memilih Nabi Muhammad SAW sebagai penyempurna dan seterusnya untuk melaksanakannya dengan penuh sempurna. Benarlah sepertimana Allah SWT berfirman :

(( .... اليوم أكملت لكم دينكم وأتممت عليكم نعمتي ورضيت لكم الإسلام دينا.....))

“ ……pada hari ini telah aku sempurnakan untuk kamu Deen ( agama) kamu dan telah Aku sempurnakan ni’matKu ke atasmu dan telah aku redhai untuk kamu Islam itu sebagai Deen” (Al-Maidah : 3)

Dan ini pula ayat Al-quran yang mengecam Bani Israel yang melakukan perbuatan memisah-misahkan sepertimana firman Allah SWT :

(( ...أفتؤمنون ببعض الكتاب وتكفرون بعض ، فما جزاء من يفعل ذلك منكم إلا خزى في الحياة الدنيا ، ويوم القيامة يردون إلي أشد العذاب...))

“Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat.” (Al-Baqarah : 85)

Firman Allah SWT :

(( يا أيها الذين ءامنوا ادخلوا في السلم كآفة ولا تتبع خطوات الشيطان إنه لكم عدو مبين ))

“ Wahai orang-orang yang beriman !! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya ia adalah musuh yang nyata bagimu” (Al-Baqarah : 208)

Beginilah kita melihat tentang kesyumulan makna Islam. Jikalau orang lain hanya menumpukan kepada satu sudut sahaja, maka kita pula menumpukan kepada kesemua sudut ini dan mengetahui bahawa itu semua adalah daripada tuntutan-tuntutan Islam. Namun, disana terdapat satu persoalan pentng yang harus diutarakan iaitu “Adakah cukup dengan kita hanya mengakui tentang kesyumulan Islam tanpa beramal denganNya ?” …….. …… ……. ?

Setiap orang yang melihat kepada petunjuk Rasulullah SAW dan sirah Salafussoleh, akan dapati bahawa mereka beriman dengan kesyumulan Islam dan mempraktikkannya, bahkan mereka menjadikan Islam sebagai Manhaj kehidupan(Way of life) yang merangkumi segenap aspek kehidupan di dunia dan akhirat. Mereka mengambil wasilah-wasilah(Ways) yang terdaya untuk mengubah kefahaman ini kepada Waqi’e Amaliyyah ( Factually & Actually) atau realiti yang amali, yang mempunyai keperibadian, bukannya terbatas kepada serban di atas kepala dan iman yang tersembunyi di dalam hati .

Inilah Hakikat Niha’iyyah (Ultimate Realities) kepada makna Iman yang benar iaitu :
" ما وقر في القلب وصدقه العمل "
- Apa yang diikrarkan di dalam hati dan di benarkannya dengan amal-

Hakikatnya Allah SWT tidaklah hanya meminta kepada manusia beriman kepadanya semata-mata , tetapi sesungguhnya Allah SWT menginginkan ke-Imanan yang berada di dalam lubuk hati manusia memancarkan cahaya Amaliyyah (Practical) dalam kehidupan sehariannya. Disana terdapat banyak sekali Kalamullah(Word of God) di dalam Al-quran yang menerangkan tentang Iman dan amal soleh serta kaitannya. Firman Allah SWT :

(( ويبشر المؤمنين الذين يعملون الصالحات أن لهم أجرا حسنا ،ماكثين فيه أبدا ))

“……dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh balasan yang baik. Mereka tinggal tetap dalam (balasan yang baik) itu selama-lamanya.” (Al-Kahf : 2-3)

(( إن هذا القران يهدي للتي هي أقوم ويبشر المؤمنين الذين يعملون الصالحات أن لهم أجرا كيرا))

“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.(Al-Isra’: 9)

(( فمن كان يرجو لقاء ربه فليعمل عملا صالحا ولا يشرك بعبادة ربه أحدا ))

“Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya". (Al-Kahf : 110)

(( وما أموالكم ولا أولادكم بالتي تقربكم عندنا زلفي إلا من آمن وعمل صالحا فأولئك لهم جزاء الضعف بما عملوا وهم في الغرفات آمنون ))

“Dan bukanlah harta benda kamu dan tidak juga anak pinak kamu yang mendampingkan kamu di sisi Kami walau sedikitpun, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka itu akan beroleh balasan yang berlipat ganda disebabkan apa yang mereka telah kerjakan; dan mereka pula ditempatkan dalam mahligai-mahligai (di Syurga) dengan aman sentosa.” ( As-Saba’ 37)

Keimanan atau aqidah yang benar beserta tasawwur yang murni terhadap Islam akan membuahkan amal-amal ibadah yang sah (Sohihul Ibadah) yg mencangkupi seluruh aspek kehidupan serta dapat mewarnai kehidupan dengan akhlak yang terpuji (Matinul Khuluq) sesuai dengan tuntutan-tuntutan syariat . Sebagai satu contoh dekat yang dapat dilihat ialah , kadang kita dapat melihat seorang Akh muslim berada di mihrab dalam keadaan penuh khusyu’, tekun, menangis dan merendah diri. Tidak lama kemudian kita melihat beliau adalah seorang penceramah yang menyampaikan pengajaran dan peringatan yang mengetuk hati dan sanubari. Selepas itu kita melihat beliau adalah seorang ahli sukan yang tangkas, membaling bola, berlari atau berenang. Selang beberapa ketika beliau berada di kedai atau pejabatnya melaksanakan pekerjaan dengan penuh amanah dan ikhlas.

Gambaran-gambaran sebegini secara zahirnya dilihat oleh kebanyakan orang sebagai bertentangan , tidak boleh bergabung di antara satu sama lain. Inilah beberapa hakikat yang diseru oleh Islam . Inilah dakwah yang dibawa oleh Muhammad SAW dengan melaksanakannya dalam kehidupan yang realiti, bukanlah khayalan-khayalan(Utopia) ahli-ahli falsafah serta angan-angan orang tolol yang tertipu dengan kehidupan duniawi.

(Inspiration Of Pen) 11.45pm -15/06/08
Sanaa’ Republic of Yamen