Thursday, July 24, 2008

kembali kepada al-quran sunnah

oleh: abu muslim

Keadaan umat Islam kini yang penuh dengan ketegangan, kefasadan, pembantaian demi pembantaian, pembunuhan secara zalim dan begitu tragis yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam terhadap umat Islam. Namun umat Islam masih tidak atau kurang sedar terhadap keadaan-keadaan yang berlaku terhadap mereka. Penyelewengan aqidah, keruntuhan akhlak, sistem-sistem ekonomi dan politik yang menindas serta perpecahan demi perpecahan merupakan penyakit-penyakit yang menimpa umat Islam di samping penindasan yang dilakukan oleh musuh Islam terhadap mereka. Hakikatnya, kesan daripada penyakit-penyakit yang menimpa ummah Islamiyyah ini menyebabkan nilai seorang muslim atau seorang mukmin(Believer) dimata masyarakat seperti buih-buih di lautan(Ghusa’a As-Sail) yang tiada nilainya sepertimana yang digambarkan oleh sabda Nabi SAW :

(( يوشك أن تداعى عليكم الأمم كما تداعى الأكلة علي قصعتها...قالو : أمن قلة نحن يومئذ يا رسول الله ؟ قال : " إنكم يومئذ كثير، ولكنكم غثاء كغثاء السيل. ولينزعن الله المهابة من صدور أعدائكم وليقذفن في قلوبكم الوهن" قالو وما الوهن يا رسول الله ؟ قال " حب الدنيا وكراهية الموت")) - رواه أحمد والترمذى –
“ Akan datang pada suatu masa , musuh-musuh kamu akan datang berkerumun kepada kamu , sepertimana berkerumunya mereka kepada satu hidangan (yang lazat) , Mereka (sahabat) pun berkata: “Adakah bilangan kami ketika itu sedikit wahai Rasulullah ?”, Rasulullah pun berkata: “Bahkan kamu ketika itu ramai , tetapi kamu seperti buih-buih dilautan (tiada nilai) dan Allah akan mencabut perasaan gerun di hati musuh-musuh kamu dan Allah akan mencampakkan kedalam hati kamu penyakit Al-Wahn .” Sahabat pun bertanya : “Apakah penyakit Al-Wahn itu wahai Rasulullah ?” Rasulullah pun bersabda : “Cintakan dunia dan bencikan mati”
(Riwayat Ahmad & Tarmizi)

Hadith diatas menunjukkan kepada kita gambaran-gambaran yang begitu jelas ,waqie’i dan hakiki(Factually & Reality) berlaku kepada umat Islam kini, iaitu mereka diibaratkan seperti buih-buih di lautan yang tiada nilai sedikitpun. Faktor utama yang menyebabkan mereka sebegini ialah “ Al-Wahn”(Cintakan dunia & benci mati). Dengan apakah umat Islam akan terselamat daripada penyakit-penyakit ini serta apakah faktor-faktor yang menyelamatkannya..? Rasulullah s.a.w bersabda:
(( تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما مسكتم بهما : كتاب الله وسنة نبيه))
“ Aku tinggalkan untuk kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengannya iaitu Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya”

Secara zahirnya, kita memahami hadith di atas mengatakan bahawa umat Islam akan terselamat daripada kesesatan dan penyelewengan ialah dengan berpegang dengan Al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Namun disana terdapat satu lagi persoalan yang begitu penting dalam menjamin ummah Islamiyyah terselamat daripada kesesatan dalam lingkungan berpegang kepada Al-qur’an dan Sunnah, iaitu bagaimanakah cara kita berpegang serta memahami Al-qur’an dan Sunnah?

Ironinya, kita dapat melihat beberapa golongan-golongan jahil yang menisbatkan diri mereka sebagai “pembela agama” cuba menafsir ayat-ayat al-quran dan hadith mengikut kefahaman mereka yang sesekali bertentangan denga Syari’ah Islamiyyah, berdalilkan kepada kebebasan mutlak, atau “Huriyyah Ta’bir”( Freedom of opinion) .Mereka ini merupakan golongan yang dikenali sebagai pembawa ideologi “Islam Liberal” yang meletakkan kebabasan secara mutlak merangkumi kebebasan peribadi, masyarakat, ekonomi, politik dan lain-lain.

Oleh itu, dalam menjamin konsisten dan kesucian makna-makna al-quran dan sunnah dan menghadkan sumber pensyariatan(Legislation), alim-ulama’ daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah telah menetapkan satu method atau prinsip dalam memahami Al-quran dan sunnah secara benar iaitu :

" والقرآن الكريم ، والسنة المطهرة مرجع كل مسلم في تعرف أحكام الإسلام ،
ويفهم القرآن طبقا لقواعد اللغة العربية من غير تكلف ولا تعسف ،
ويرجع في فهم السنة المطهرة إلي رجال الحديث الثقات "
“ Al-quran Al-karim dan Sunnah Rasulullah SAW merupakan sumber rujukan bagi setiap muslim dalam memahami hukum-hukum Islam. Al-qur’an hendaklah difahami mengikut kaedah-kaedah bahasa Arab tanpa memberat-beratkan dan tidak pula membabibuta. Sunnah pula difahami melalui periwayat-periwayat hadith yang thiqah.”
(Usul 20 Al-Banna)

Umat Islam seluruhnya telah bersepakat bahawa al-quran dan sunnah merupakan dua rujukan asas bagi pensyariatan Islam. Setiap persoalan khilaf(perselisihan) yg terjadi, maka sumber rujukan perselisihan tersebut diukur dengan nas-nas al-qur’an dan sunnah. Nas-nas Al-quran dan Sunnah merupakan nas berbahasa arab. Oleh itu al-quran dan sunnah hendaklah difahami dengan kaedah-kaedah bahasa arab dalam uslub masyarakat arab dalam pergaulan mereka. Firman Allah SWT :
((فإن تنازعتم في شيء فردوه إلي الله والرسول إن كنتم تؤمنون با الله واليوم الآخر))
“ Maka , jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu perkara , maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul sekiranya kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat”(an-nisa’: 59)

Al-Imam Ibn Hazm menjelaskan bahawa : “Tiada perselisihan diantara kumpulan-kumpulan yang dilabelkan oleh muslimin daripada Ahli Sunnah wal Jamaah , Muktazilah, Khawarij ,Mur’jia , dan Zaidiyyah tentang kewajipan mengambil sumber daripada Al-quran .. … tetapi hanya yg berselisih dengannya ialah kelompok daripada pengikut-pengikut ekstrim Syiah Raafidah , mereka merupakan kuffar dan musyrik di sisi ahli Islam” –( Ibn Hazm : Al-Ihkam) Imam As-Syathibi berkata : “ ..berkata sesuatu tentang al-quran dan sunnah tanpa ilmu merupakan takalluf memberat-beratkan/sukar&tidak terdaya) dan kita telah dilarang daripada memberat-beratkan, dan termasuk dibawah makna hadith ini :

(( حتي إذا لم يبق عالم اتخذ الناس رؤساء جهالا))
“ Sehingga tiada lagi Alim Ulama’, manusia akan mengambil/ melantik orang-orang yang jahil sebagai pemimpin”

Kerana apabila tiada pada mereka lisan arab (Bahasa Arab), mereka merujuk kepada Al-quran dan Sunnah Nabi SAW dengan kefahaman mereka yang A’jami(Asing daripada bahasa Arab), dan akalnya hanya terhad atau terbatas pada berpegang pada dalil-dalil yang menyesatkan daripada kebenaran” ( Jami’ Al-Usul / Al-I’tishom) Sepertimana dikatakan oleh Imam Mufassir Al-Mujahid Syiekh Manna’ Qhattan :

( لا يحل لأحد يؤمن باالله واليوم الآخر أن يتكلم في كتاب الله إذا لم يكن عالما بلغات العرب)
“ Tidak Halal, bagi seorang yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat , bercakap tentang Kitab Allah (Al-qur’an) sekiranya dia tidak mengetahui / mahir Bahasa Arab”
( مباحث في علوم القرآن للقطان)- -
Disini kita dapat melihat kepentingan mengetahui method atau prinsip dalam memahami al-quran dan sunnah serta kepentingan menghadkan sumber pensyariatan(Legislation) supaya setiap orang tidak mengambil atau meninggalkannya menurut hawa nafsunya tanpa dalil.

Kesimpulannya, ummah Islamiyyah hanya akan terselamat daripada penyakit-penyakit yang menimpa mereka kini hanya dengan kembalinya kepada kefahaman al-quran dan sunnah dengan method yang benar iaitu kefahaman yang tidak memberat-beratkan serta tidak membabi-buta dalam mengembalikan kemuliaan serta nilai eksistensi syakhsiyyah Islamiyyah(Moslem Personality) di hadapan mata masyarakat setempat secara khususnya dan dihadapan masyarakat dunia secara keseluruhannya .

هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ
“Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (dengan membawa) petunjuk (Al Qur'an) dan agama yang benar untuk dimenangkan-Nya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukai.” (At-Taubah 33)







No comments: