Thursday, July 24, 2008

ABU UBAIDAH AL-JARRAH

oleh: abu 'iyash


ABU UBAIDAH AL-JARRAH

Beliau ialah salah seorang sahabat Rasululah SAW yang dijanjikan syurga secara khusus olah baginda SAW. Nama beliau yang sebenar ialah ‘Amir bin Abdullah bin Al-Jarrah Al-Qurasyi Al-Fihri, salah sebuah kabilah di Mekah. Bertemu nasabnya dengan Nabi SAW pada datuknya yang ke-7, Fihr bin Malik. Bapanya, Abdullah membesar dan mati dalam agama kaumnya. Tetapi ibunya, Umaimah binti Ghanim bin jabir memeluk Islam semasa hayat Nabi SAW.

Abu Ubaidah Al-Jarrah seorang yang kurus, redup wajahnya, berjanggut nipis serta tinggi tubuhnya. Dia juga mengenakan inai pada janggutnya. Sebahagian ahli sejarah menyifatkan sifat dan juga akhlaknya saling tidak tumpah seperti Abu Bakar As-Siddiq RA. Beliau dilahirkan di Mekah pada tahun ke-27 sebelum kenabian, yakni sebaya dengan Umar Al-Khattab RA dan lebih muda dari Rasulullah SAW 13 tahun.

Semasa zaman mudanya, beliau banyak menghabiskan masanya dengan amalan-amalan kufur dan syirik kafir Quraisy, jahil dengan tujuan hidup sebenar insan di alam ini, memuliakan adat resam Arab serta mempertahankan upacara-upacara berhala. Beliau juga turut terlibat dalam urusan perniagaan warisan keluarganya, sering berulang-alik dalam menguruskan barang dagangannya selain berkhidmat kepada kedua-dua orang tuanya. Selain itu, Abu Ubaidah juga aktif dalam majlis-majlis jahiliah untuk membesar-besarkan Kaabah sebelum memeluk Islam ketika berumur 27 tahun.

Amir bin Abdullah lebih terkenal dengan jolokannya Abu Ubaidah setelah beliau memeluk Islam. Malah, Rasulullah SAW juga memanggilnya dengan gelaran tersebut. Tambahan lagi, baginda SAW telah melantiknya untuk memegang jawatan yang paling penting di sisi baginda SAW iaitu sebagai ‘Aminul Ummah’, tidak lain dan tidak bukan bagi memegang amanat dan rahsia Nabi SAW dan juga umamh seluruhnya. Oleh kerana itu, beliau banyak berdamping dengan Nabi SAW selian terlibat dalam peperangan dan peristiwa-peristiwa penting Islam sepanjang hayat baginda SAW.

Dalam meriwayatkan hadis, beliau hanya meriwayatkan hanya 15 buah hadis, iaitu yang dimuatkan dalam kitab-kitab sunnah. Antara sahabat RA yang meriwayatkan hadis dari beliau termasuklah Jabir bin Abdullah, Samurah bin Jundub, Abu Umamah Al-Bahili, ‘Irbadh bin Sariah, Abu Tha’labah Al-Khusyani dan ramai lagi. Manakala dari kalangan tabien pula ialah Aslam hamba Umar, Abdul Rahman bin Ghanam Al-‘Asyaari, ‘Iyadh bin ‘Uthaif, Qais bin Abu Hazim dan Nashirah bin Suma.

Abu Ubaidah RA juga terlibat dalam pembukaan tanah-tanah jajahan Islam semasa khilafah Abu Bakar dan Umar RA, termasuklah pembukaan Dimashq dan tanah Syam seluruhnya. Hayatnya dijemput ke sisi Allah SWT akibat taun pada tahun 18H, riwayat termasyhur dari para sejarawan. Umurnya ketika itu ialah 58 tahun.

No comments: