Wednesday, July 2, 2008

terjemahan saidatina aisyah

oleh: abu 'iyash

Beliau ialah Sayyidatina Aishah binti Abu Bakar As-Siddiq, salah seorang ummahatul mukminin (isteri Rasulullah SAW). Beliau dikawini oleh Rasulullah SAW ketika masih di Mekah semasa umurnya 7 tahun,tetapi dicampuri oleh baginda SAW selepas hijrah ke Madinah. Aishah sempat bersama baginda dalam alam rumahtangga selama 8 tahun 5 bulan, dan merupakan antara isteri-isteri yang paling baginda sayangi. Maka hiduplah beliau di bawah asuhan secara langsung dari Nabi Muhammad SAW.

Sayyidatina Aishah adalah seorang yang cerdik serta rajin dalam menuntut ilmu. Beliau juga adalah individu yang paling banyak meriwayatkan hadis dari Rasulullah SAW lantaran kedudukan beliau sebagai isteri baginda SAW. Para sahabat baginda SAW yang lain seringkali merujuk kepada beliau untuk mendapatkan riwayat-riwayat hadis selain hukum-hakam agama. Malah beliau juga adalah seorang yang sangat faqih di antara isteri Nabi SAW dan menjadi pakar rujuk walaupun selepas kewafatan baginda Nabi.

Beliau juga terkenal seorang yang sabar dan tabah. Ini dapat dilihat dari peristiwa yang dikenali sebagai 'ifik' iaitu satu kejadian yang berpunca dari kaum munafiqin Madinah yang beliau telah berzina dengan salah seorang sahabat, Safwan ketika dalam perjalanan pulang dari satu peperangan. Namun, Maha Kaya Allah SAW telah membersihkan nama baik beliau dengan firman Al-Quran dalam Surah An-Nur. Selain itu, kesabaran serta ketabahan beliau juga teruji semasa menghadapi 'zaman fitnah' iaitu ketika menghadapi Saidina Ali bin Abu Talib dalam 2 peperangan iaitu Perang Jamal dan Perang Siffin.

Ummul Mukminin ini mengambil periwayatan secara terus dari baginda Nabi SAW, selain dari ayahnya Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, Fatimah puteri Rasulullah SAW, Saad bin Abi Waqqas, Usaid bin Hudhair, Juzamah binti Wahab dan Hamzah bin Amru.

Manakala para sahabat yang mengambil periwayatan dari beliau pula termasuklah Umar dan anaknya Abdullah, Abu Hurairah, Abu Musa Al-Asy'ari, Zaid bin Khalid, Ibnu Abbas, Rabi'ah bin Amru, Saib bin Yazid dan lain-lain. Dan dari kalangan tabi'en pula ialah Qasim dan Abdullah bin Muhammad bin Abu Bakar, Urwa bin Zubair, Said bin Musayyib, Amru bin Maimun,Alqama bin Qais, Masruq, Abdullah bin Hakim, Al-Aswad bin Yazid dan ramai lagi.

Abu Musa pernah berkata: "Apabila kami (para sahabat) mempunyai kemusykilan dalam hadis Nabi SAW maka kami akan merujuk kepada Aishah". Dan dari Qabisah bin Zuaib pula katanya: "Sesungguhnya Aishah orang yang paling alim dan menjadi pakar rujuk kepada para sahabat. Urwah dari kalangan tabi'en pula berkata: "Aku tidak pernah melihat orang yang lebih alim dari beliau", manakala dari Ali bin Mashar, katanya: "Beliau adalah orang yang paling arif dalam ilmu Al-Quran, halal dan haram, syair dan hadis".

Periwayatan Sayyidatina Aishah binti Abu Bakar dalam hadis nabawi SAW berjumlah 2210 buah hadis. Di dalam riwayat As-Sahihain jumlahnya 316 hadis; yang disepakati oleh kedua-duanya ialah 193. Manakala yang terdapat dalam Sahih Al-Bukhari sebanyak 53 hadis dan dalam Sahih Muslim pula berjumlah 68 hadis. Selain itu, hadis-hadis dari beliau juga turut dimuatkan dalam kitab-kitab hadis yang lain seperti kitab sunan dan musnad.

Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada malam Selasa 17 Ramadhan tahun 58 Hijrah, ,iaitu yang termasyhur di kalangan ahli sejarah.

No comments: