Wednesday, July 2, 2008

muqaddimah

oleh: abu huzaifah


Syukur kepada Allah dan selawat serta salam ke atas ar-rasul, al mu’allim juga dan sebaik-baik qudwah. Rijal yang sanggup mengorbankan harta, waktu dan seluruh jiwa raga hanya demi melihat agama islam yang mulia tertegak berpaksi di atas muka bumi ini. Firman Allah ta’ala:

هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الأُمِّيِّينَ رَسُولاً مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمْ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلاَلٍ مُبِينٍ
“Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.” (al-Jum’ah:2)

Sebagai seorang muslim, kita perlu meneliti dan merenung sebanyak mungkin pengajaran dan istinbat yang boleh dikeluarkan daripada ayat ini. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang sedang memahami dan merasai keadaan umat yang semakin parah. Hadirnya seorang rijal ummi yang yakin mampu mengubah keadaan jahiliah kepada kefahaman dan keimanan kepada Allah ta’ala. Bermula daripada peringkat da’wah fardiah kepada pembentukan daulah dan sistem khilafah yang agung.

Saudara,
Mu’allim yang paling mulia secara hikmah membentuk kelompok manusia yang menjunjung tinggi risalah dakwah ini. Baginda tidak mengasingkan dunia dengan agama, tidak mengabaikan tanggungjawab keluarga di samping amalan soleh dan tidak melupakan sahabat dalam mencari rezki. Baginda adalah sebaik-baik qudwah bagi manusia. Firman Allah ta’ala:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.” (al-Ahzab: 21)

Dalam hadis riwayat ibnu majah bahawa Rasulullah s.a.w pernah sekali masuk ke dalam masjid yang mempunyai dua halaqoh. Halaqoh pertama sedang membaca al-quran dan berdoa kepada Allah ta’ala, manakala yang kedua sedang mengadakan pengajian. Baginda pun bersabda: Semuanya khoir. Bagi mereka yang membaca dan berdoa, dengan izin Allah, akan diperkenan atau sebaliknya. Bagi halaqoh kedua rasulullah s.aw bersabda: Sesungguhnya aku diutuskan sebagai mu’allim lalu baginda menyertai mereka.

Saudara,
Pembentukan peribadi muslim perlu menjadi batu asas kepada setiap kerja lebih-lebih lagi organisasi yang mendokong sesuatu fikrah. Kita perlu membentuk qudwah dan uswah dengan teliti. Meneliti dan mencungkil secara langsung atau tidak langsung sifat-sifat mahmudah seorang muslim sebagai teladan. Banyak perkara yang perlu dititik beratkan. Dalam perlantikan amir sesuatu urusan, sudah pasti kita memilih seorang yang paling baik dan berkeyakinan sifatnya, mempunyai kreteria sebagai seorang yang sanggup memikul amanah dan sanggup melaksanakan tugasnya. Memimpin dan mendidik melalui teladan supaya bersambung generasi pimpinan dengan baik. Inilah di antara kepentingan takwin fard muslim.

Pernah Saidina Umar berkata kepada sahabatnya: Impikanlah! Seorang pemuda berkata: " Aku mengimpikan sekiranya negeri ini dipenuhi dengan emas lalu aku infakkan pada jalan Allah." Omar berkata lagi: Impikanlah! Seorang pemuda berkata: "Aku mengimpikan jika negeri ini dipenuhi dengan batu permata lalu aku infakkan pada jalan Allah." Omar berkata lagi: Impikanlah! Mereka berkata: "Kami tidak tahu apa lagi yang hendak dikatakan wahai Amirul Mukminin" Omar pun berkata: "Tetapi aku mengimpikan rijal seperti Abu Ubaidah bin al Jarrah, Muaz bin Jabal dan Salim, hamba Abu Huzaifah. Lalu aku meminta pertolongan dari mereka untuk meninggikan kalimah Allah".

Saudara,
Kita tidak dapat menolak permulaan islam dengan seorang rasul yang berjaya meyampaikan risalah dan dakwah islam. Begitulah bermulanya islam yang kita anuti. Bermula dari kelompok yang kecil, kemudian berkembang dan terus merebak pesat ke seluruh alam. Asas atau akarnya ialah al-quran dan sirah perjuangan nabi s.a.w. Seruan baginda hanya kepada islam, memperkenalkan kepada manusia tuhan sebenar, menyedarkan manusia hakikat keimanan yang sebenar. Satu-satunya risalah agung yang dibawa oleh para anbiya’ terdahulu. Memantapkan aqidah, memberi kefahaman dan membetulkan amalan masyarakat agar manusia benar-benar yakin dengan risalah mereka. Hakikat yang perlu kita fahami dalam meneruskan tugas dan risalah para nabi. Adakah kita sanggup meneruskan perjuangan risalah ini?....

Firman Allah ta’ala:

إِنَّ اللَّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (ar-Ra’d: 11)

Wallahua’lam..

No comments: