Saturday, February 21, 2009

SEBAIK-BAIK PERKARA ADALAH YANG SEDERHANA


oleh: ibnu najib

“Ish! Sapa lah kita nak ijtihad-ijtihad ni, kan ulama dah karang kitab berjilid-jilid tu, kita ikut ja lah!” kata Ahmad penuntut Kuliyah Syariah sebuah universiti di timur tengah.

“Kita semua sampai berpecah-belah ni sebab kita dok ikut mazhab-mazhab ni lah, cuba kalau semua orang Islam terus rujuk al Quran dengan Shohih Bukhari dan Shohih Muslim, mesti kita tak akan berpecah.” Hujjah seorang ustaz kepada jemaah Surau Kampung Pinang Sebatang.

“Tok guru kata, kita tak boleh tanya banyak sangat soalan, nanti lemah iman, kita buat ja apa yang dia ajar. ”

“Siapa lebih alim, Imam Syafie atau Rasulullah SAW?” kata yang lain pula seolah-olah mencabar.

Itulah antara dialog yang biasa kita dengar dalam kehidupan harian kita. Masyarakat seolah-olah tersepit di antara dua sifat melampau atau ‘ghulu’. Suatu pihak mengharamkan taqlid ke atas semua orang, manakala pihak yang lain pula mewajibkan semua orang berijtihad. Fahaman melampau ini telah menjadi suatu penyakit menular yang jika tidak diubati akan menjadi barah di dalam masyarkat.

Matlamat Allah swt menjadikan manusia adalah untuk mengabdikan diri mereka kepada-Nya dan menjadi khalifah-Nya di atas muka bumi ini. Oleh yang demikian, adalah menjadi suatu kemestian kepada kesempurnaan pengabdian dan penegakan agama ini dengan kefahaman Islam yang sahih dan syamil, kefahaman yang sejahtera lagi murni sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah saw. Amal ibadat kita dan agama ini tidak mungkin akan tertegak dengan kefahaman yang kurang, menyeleweng atau salah. Perkara yang memecahbelahkan umat Islam dan menjadikan mereka berpuak-puak ialah perselisihan mereka dalam memahami Islam dan 'aqidahnya secara syumul.

Berbalik kepada persolan taqlid dan ijtihad. Adakah semua manusia diwajibkan supaya berijtihad? Dan benarkah semua manusia di zaman sekarang wajib bertaqlid kepada imam-imam tertentu kerana pintu ijtihad telah tertutup dan terkunci rapat?

Islam merupakan agama yang sederhana, dan sebaik-baik perkara adalah yang pertengahan. Pendapat yang terbaik di dalam masalah ini adalah, taqlid tidak diwajibkan secara mutlak dan ijtihad juga tidak diwajibkan secara mutlak. Bahkan, harus bagi sesetengah pihak serta haram pula ke atas pihak yang lain. Taqlid serta ijtihad tidaklah wajib dan tidaklah pula haram berdasarkan pendapat-pendapat yang biasa kita dengar. Hukum asal ijtihad dan taqlid adalah harus ataupun masyru’, tetapi keharusannya tidaklah terhadap semua manusia.

Taqlid seperti yang dita’rifkan oleh Imam al Syaukani di dalam kitab as Sail al Jarrar adalah: “Beramal dengan pendapat orang lain tanpa mengetahui apakah hujjahnya”. Oleh itu taqlid disyariatkan dan diharuskan kepada setiap muslim yang belum mencapai darjat nazhor atau ijtihad (boleh mengeluarkan dan mengistinbat hukum serta dalil) daripada al Quran dan as Sunnah serta mengetahui ijma’ dan qiyas dalam hukum-hukum furuk (cabang), sayugialah beliau mengikut pendapat mana-mana imam muktabar.

Walaubagaimanapun, di samping ikutannya itu adalah ‘lebih baik’ jika dia berusaha mencari, mengkaji dan mengetahui dalil dan hujjah imamnya. Seseorang itu seharusnya menerima semua pendapat yang disertakan dengan dalil dan hujjah sekiranya dia yakini akan tahap keilmuan dan ketaqwaan serta wara’ orang yang berfatwa tersebut. Contohnya, apabila seseorang itu memasuki masjid selepas waktu asar samada dia boleh solat tahiyyat masjid atau tidak, atau samada dia solat dua rakaat selepas fardhu Subuh ataupun tidak? Elok kalau dia mengetahui dalil perbuatannya itu. Gesaan ini adalah lebih-lebih lagi sekiranya sesuatu hukum itu sudah menjadi suatu perbuatan yang serius dan kebiasaan baginya.

Manakala bagi mereka yang mempunyai kemampuan dalam menuntut ilmu atau sudah terdiri dari kalangan orang-orang yang berilmu. Hendaklah dia menambahkan usaha pengkajian dan penelitian terhadap dalil-dalil yang berbagai-bagai itu dan kemudian menapisnya dan mentarjihkannya sebelum memilih mana yang lebih kuat dan sesuai dari pendapat-pendapat yang banyak. Supaya masyarakat dapat mengambil manfaat faedah dari orang-orang yang mempunyai kemampuan dan kebolehan agar ilmu meraka tidak sia-sia begitu sahaja. Adalah menjadi kebiasaan bagi para imam yang mulia menegah orang-orang yang dirasai mempunyai kemampuan dalam memahami dan meneliti dari bertaqlid atau mengikut mereka. Bahkan sebaliknya mereka melatih orang-orang yang berkemampuan itu dalam mengeluarkaan hukum-hakam dari dalil-dalilnya dan mentarjih mana-mana dalil yang lebih kuat. Kesungguhan yang kuat amat perlu bagi melahirkan para ulama’ yang mencapai tahap mujtahid agar setiap zaman dan tempat sentiasa ada orang-orang yang mampu berijtihad. Umat Islam amat berhajatkan kepada para ulama’ mujtahid kerana keadaan dan suasana setiap zaman dan tempat berbeza dan sentiasa berkembang sesuai dengan perkembangan ilmu manusia dan teknologi.

Berkata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah: "Antara sifat melampau ahli ilmu kalam dan ilmu fiqh ialah ada di antara mereka yang mewajibkan penelitian yang mendalam dan ijtihad dalam masalah-masalah furu' ke atas setiap orang sehinggalah orang-orang awam. Pendapat ini adalah lemah kerana jika sekiranya menuntut ilmu itu fardu 'ain, iaitu mesti dilakukan oleh setiap orang maka ianya adalah wajib dengan kemampuan yang ada, sedangkan kemampuan untuk mengetahui dalil-dalil amat sukar bagi kebanyakan orang awam. Dan ada pula di antara pengikut-pengikut mazhab yang banyak itu orang-orang yang mewajibkan taqlid kepada semua orang samada ulama’ atau orang awam. Pendapat majoriti umat ini ialah ijtihad dan taqlid itu adalah harus. Mereka juga tidak mewajibkan taqlid dan tidak mengharamkan ijtihad kepada setiap orang. Ijtihad adalah harus bagi orang yang mampu berijtihad dan taqlid adalah harus bagi orang yang tidak mampu berijtihad. Al-Fatawa: 20/203-204

Ini adalah jalan yang paling sederhana. Manusia sebenarnya adalah berbeza-beza dari segi ilmu, kefahaman dan kemampuan mengeluarkan hukum. Oleh itu Allah swt memerintahkan kepada orang yang tidak mengetahui supaya bertanya kepada orang yang mengetahui dalam apa-apa perkara yang tidak diketahuinya, dan tidaklah menjadi kesalahan baginya untuk mengikut mereka. Islam juga menggalakan ummatnya menjadi ummat yang berfikir dan berilmu, terutama di dalam memahami agamanya untuk menjadi hamba yang sempurna pengabdiannya dan mampu menjadi khalifah Allah di muka bumi ini.

No comments: