Saturday, February 21, 2009

lafzul jalalah fil basmalah

oleh: abu 'iyash

Makna Basmalah secara umumnya ialah: Bacalah wahai Muhammad dan seluruh umatmu dengan nama tuhanmu akan kitab-Ku dengan mengharap keberkatan dengan nama-Ku yang wajib wujud serta yang paling berhak ke atas semua makhluk yang memuji-Nya. Al-Qurthubi berkata: Sesungguhnya Allah SWT mengajar nabi-Nya SAW dengan adab yang mulia iaitu mengajar untuk menyebut nama-Nya yang Maha Mulia dalam setiap pekerjaan untuk dijadikan contoh kepada seluruh makhluk-Nya.

Manakala secara tafsilnya(terperinci), tafsiran basmalah adalah seperti berikut :
BISMILLAH: Iaitu “Dengan nama Allah”, yakni sebagai mengambil keberkatan dengan nama Allah Yang Maha Mulia serta sebagai memohon perlindungan dengan meyebut nama Allah. Menurut Al-Imam As-Shaukani, kalimah “Ba” dalam bahasa arab membawa erti “dengan” bermaksud: Aku membaca dengan …, kerana kita membaca basmalah pada awal sesuatu perbuatan atau bacaan. Ini bertepatan dengan ayat pertama diturunkan dalamm surah al-’Alaq: “Bacalah dengan nama tuhanmu yang menjadikan”. Selain itu, huruf “Ba” membawa maksud untuk memohon pertolongan atau sebagai pengiring(musohabah) iaitu datang dengan kalimah yang lain dan tidak akan membawa sebarang maksud tanpa diiringi kalimah yang lain, seperti yang dijelaskan oleh Al Imam Zamakhshari dalam tafsirnya Al Kassyaf.

Manakala kalimah “Allah” berasal dari “Ilah” yakni sembahan yang wajib disembah dan tiada sekutu bagi-Nya. Kalimah ini hanya tertakluk bagi zat Yang Maha Esa semata-mata dan bukan tertakluk bagi yang selain dari-Nya. Kalimah Allah adalah salah satu dari nama-nama-Nya Yang Agung atau Asmaul Husna sepertimana firman-Nya dalam Surah Al-‘Araf pada ayat 18 yang bermaksud “Dan bagi Allah nama-nama yang agung maka serulah(berdoa) dengannya(dengan nama-nama tersebut)” (al-A’raf: 84) dan juga di dalam hadith Muttafaqun ‘Alaih yang bermaksud “Sesungguhnya bagi Allah 99 nama”. Para ulama’ berselisih pendapat: Adakah kalimah “alif lam” pada awal kalimah Allah itu hanya tambahan atau ianya adalah asal pada kalimah tersebut. Memandangkan kalimah tersebut tidak diketahui wujud di kalangan masyarakat Arab ketika itu sepertimana yang dinukilkan oleh Imam Al-Qurthubi, As-Syafie dan Al-Ghazali. Manakala Imam Ar-Razi pula berpendapat bahawa kalimah Allah itu sendiri berasal dari kalimah Ibrani (bahasa Yahudi, iaitu bahasa Taurat dan Injil) dan bukanlah dari kalimah Arab. Namun, beliau kemudian mendaifkan kenyataan tersebut dan menarik kembali pendapatnya.

Bagi ulama’ nahu dan bahasa Arab seperti Al-Khalil bin Ahmad pula berpendapat bahawa 2 kalimah iaitu alif lam membawa 2 maksud: Pertama, jika dibuang alif dan lam menjadi ilah maka bermakna sesuatu yang diangkat, yang dibesarkan, yang disembah atau yang terbit, seperti kata orang Arab: Matahari telah terbit. Maksud kedua pula apabila ditambah alif lam menjadi kalimah Allah maka jadilah maknanya Lafzul Jalalah (lafaz Yang Maha Mulia) iaitu khusus bagi zat Yang Maha Besar sebagai tanda membesarkan-Nya. Kesimpulannya, kalimah Allah hanya berhak bagi-Nya semata-mata dan tidak boleh dinisbahkan kepada yang lain selain dari Yang Maha Esa, Wallahu ‘Alam.

Kalimah ar rahman iaitu (Yang Maha Pemurah) dan ar rahim(Yang Maha Mengasihani) ialah dua sifat Allah yang berasal dari satu perkataan ra hi ma. Sebahagian salaf menafsirkan bahawa kalimah ar rahman adalah lebih umum berbanding kalimah ar rahim berdasarkan athar dari Nabi Musa AS yang bermaksud: Sifat pemurah(ar rahman) adalah meliputi kehidupan dunia dan akhirat, dan sifat mengasihani(ar rahim) hanya pada kehidupan akhirat semata-mata. Bertepatan dengan firman Allah pada Surah Al-Ahzab, ayat 43: “Dan adalah Dia(Allah) Maha Mengasihani kepada orang-orang yang beriman”. Kedua-dua sifat Allah ini menjadi dalil bahawa Dialah satu-satunya empunya rahmat ke atas seluruh makhluk-Nya, sama ada yang berada di langit dan di bumi, hidup dan mati dan Dialah juga yang memberikan sifat belas dan kasih sayang yang hakiki sesuai dengan darjat masing-masing, yakni kepada para nabi dan rasul-Nya, para solihin dan para syuhada’. Manakala bagi mereka yang kafir dan ingkar kepada-Nya, diberikan balasan yang setimpal dengan amalan mereka ketika di dunia.

No comments: