Saturday, February 21, 2009

AWLAWIYAT

oleh: abu muslim

Segala puji bagi Allah SWT yang memuliakan orang-orang beriman daripada makhluk-Nya dan menghina ahli maksiat dengan kehinaan yang nyata. Hanya kepada Allah sajalah segala ketinggian kekuasaan-Nya diatas segala ciptaan-Nya, yang memberikan An-Nasr (Kemenangan) kepada golongan yang beriman dalam keadaan mereka yang sedikit, serta menghina dan mengalahkan golongan yang batil. Selawat dan salam kepada penghulu Al-Anbiyaa’ Muhammad SAW , yang menghadapi kaum-kaum kafir dalam keadaan-Nya yang lemah atau kuat dengan penuh Thiqah dan Thabat , rasul yang menggoncang araysh-araysh (kedudukan) para ahli batil dan menghancurkannya hanya dengan beberapa orang sahabat yang ikhlas.

Kekuatan iman dan taqwa, bukanlah dengan kekuatan tubuh badan, tetapi dengan bersatunya hati-hati dan jiwa yang suci. Tidak seperti terkumpulnya jiwa dan tubuh-tubuh yang kering seperti kayu, tetapi dengan kehebatan dan kemurnian akhlak. Bukan dengan kehebatan dan kecanggihan senjata, tetapi dengan banyaknya kebaikan-kebaikan yang disemai. Bukan dengan banyak dan ramai bilangannya. Firman Allah SWT : “Allah pelindung orang-orang yang beriman; dia mengeluarkan mereka dari kegelapan(kekafiran) kepada cahaya(iman) dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindungnya ialah syaitan, yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan(kekafiran). Mereka itu adalah penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya”. (Al-Baqarah: 257)

Daripada tasawwur (Perspective) Islam yang Syaamil (Comprehensive), sistem pensyariatan-Nya yang dinamik ,dan petunjuk-petunjuk daripada Al-quran dan hadith yang Mulia, kita mendapati bahawa Islam mementingkan aspek kualiti daripada kuantiti(bilangan). Yang perlu mendapat perhatian kita bukanlah banyak dan besarnya sesuatu perkara, tetapi kualiti dan jenis perkara tersebut kerana nilai atau intipati sesuatu perkara bukan diukur dengan ramai atau banyak bilangannya.

Al-quran amat mencela golongan-golongan majoriti(ramai) apabila dalamnya hanya diisi oleh orang yang tidak berakal, tidak berilmu, tidak beriman dan tidak bersyukur. Firman Allah SWT : “... akan tetapi kebanyakan mereka tidak memahaminya”. (al-Ankabut: 63) “... akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”. (al-A'raf:187) “…. akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman”. (Hud:17) “…akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur”. (al-Baqarah: 243)

Pada masa yang sama, Al-quran memberikan pujian kepada golongan-golongan minoriti (sedikit) apabila mereka beriman , beramal, dan bersyukur. Firman Allah SWT : “... kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal shaleh; dan amat sedikitlah mereka ini...” (Shaad:24) “... dan sedikit sekali hamba-hamba-Ku yang bersyukur”. (Saba’:13) “Dan ingatlah (hai para muhajirin) ketika kamu masih berjumlah sedikit lagi tertindas di muka bumi..” (al-Anfal: 26)

Oleh itu, tidak penting kuantiti manusia yang ramai, akan tetapi perkara terpenting yang perlu dijadikan keutamaan ( priority) ialah kualiti sesuatu perkara tersebut iaitu Syakhsiyyah Islamiyyah (Moslem Personality) yang beriman dan beramal solih. Namun tabiat manusia lebih senang atau suka kepada kuantiti, keramaian atau jumlah sesuatu perkara dan suka menonjolkannya. Malangnya kita tidak banyak melihat dan memperhatikan apa yang ada disebalik jumlah yang banyak itu, dan apa yang terkandung dalam angka-angka tersebut .

Ciptalah senjata secanggih manapun, senjata tersebut tidak akan berguna kecuali kepada seorang yang pandai menggunakanya, buatlah apa-apa undang-undang sekalipun, undang-undang tersebut tidak akan berguna sekiranya ia hanya ditulis di kertas perlembagaan tanpa adanya perlaksanaan, tubuhkanlah apa-apa pertubuhan yang mempunyai pelbagai lajnah-lajnah atau sistem tarbiyyah tertentu kerana ia tidak akan berguna dan tidak akan bermaya kecuali wujudnya ahli-ahli yang berkemampuan dan berkualiti bertindak melaksanakannya. Inilah hakikat yang waqie’(Reality).

Sesungguhnya kami ingin menegaskan kembali kepada para pembaca yang dikasihi Allah sekalian, bahawasanya nilai atau intipati kekuatan sebenarnya bukanlah terletak pada kecanggihan sesuatu senjata yang dipakai oleh tentera tersebut. Hakikat keadilan bukanlah terletak pada undang-undang yang tertulis di perlembagan dam dihafal oleh peguam bela tersebut, hakikat-hakikat tarbiyyah tidaklah terletak pada helaian-helaian kitab yang dibaca atau dihafal oleh seseorang, serta hakikat melaksanakan tindakan-tindakan bukanlah dengan menubuhkan lajnah-lajnah mengikut kadar semangat ahli-ahli persatuan tersebut. Oleh itu apakah hakikat atau nilai intipati serta keutamaan(priority) setiap perkara dalam tasawwur(perspective) Islam…………?

Kepentingan Syakhsiyyah Islamiyyah (Moslem Personality) yang Berkualiti

Impian Umar Al-Khattab R.A, pada suatu hari beliau duduk bersama beberapa sahabatnya di sebuah rumah temannya, kemudian beliau berkata kepada mereka, “Impikanlah!” Seorang pemuda berkata: “Aku mengimpikan jika negeri ini dipenuhi dengan emas lalu aku infakkan pada jalan Allah”. Umar berkata lagi: “Impikanlah!”. Seorang pemuda berkata: “Aku mengimpikan jika negeri ini dipenuhi dengan batu permata lalu aku infakkan pada jalan Allah”. Umar berkata lagi: “Impikanlah!”. Mereka berkata: “Kami tidak tahu apa yang hendak dikatakan lagi wahai Amirul Mukminin”. Umar pun berkata: “Tetapi aku mengimpikan rijal seperti Abu Ubaidah al Jarrah, Muaz bin Jabal dan Salim, hamba Abu Huzaifah agar aku dapat mempergunakan mereka untuk berjuang di jalan Allah”.

Amru bin Ash pernah dihantar oleh Saidina Umar Al-Khattab membawa tentera menakluki Mesir ketika dikuasai Rom. Beliau meminta kepada Saidina Al-Khattab tentera tambahan kerana bilangan tentera Rom begitu ramai dan ganas menggasak tentera Islam ketika itu. Maka, Saidina Umar tidak mengirim sepuluh ribu, tidak pula lima ribu, atau seribu orang tentera tambahan. Tetapi beliau hanya mengirim empat orang komando. Setiap komandonya merangkumi kadar kekuatan seribu orang tentera … !!!!! Kini jumlah kaum muslimin sedunia melebihi 1.4 bilion. Malangnya kesan daripada penyakit-penyakit umat menyebabkan nilai seorang muslim atau seorang mukmin di mata masyarakat seperti buih-buih di lautan(Ghusa’a As-Sail), tiada nilai sepertimana yang digambarkan oleh Nabi SAW.

Hakikat dan nilai intipati peribadi seseorang itu tidaklah diukur dengan tinggi tubuhnya, kuat ototnya, berani, atau hebat memukul manusia dan cantik wajahnya. Semua ini adalah hal-hal yang berada di luar intipati dan hakikat kemanusian. Tubuh manusia pada akhirnya tidak lain hanyalah bungkusan dan instrumennya, sedangkan hakikatnya ialah pada akal dan hati. Allah SWT berfirman tentang sifat-sifat orang munafik: “Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu kagum...” (al-Munafiqun: 4)

Berlainan pula hakikat seorang muslim dan mu’min. sabda SAW: “Seorang muslim adalah sesorang yang dapat memelihara lidah, dan tangannya daripada menyakiti muslim yang lain, dan hakikat seorang yang berhijrah itu ialah, meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah SWT. -Riwayat Bukhori- “Tidaklah dikatakan kuat seseorang itu dengan kuatnya ia bergusti, tetapi makna kuat itu pada siapa yang dapat mengawal dirinya ketika marah” - Muttafaqun Alaih -

Keperluan sekarang ialah membina kualiti berjasa bukan kuantiti yang diabaikan. Jaminan kebahagiaan hanya dari Allah SWT. -wallahua’lam

No comments: