Saturday, August 16, 2008

ukhuwwah islamiah

oleh: abu 'iyash


Ukhuwwah Islamiah adalah salah satu nikmat Allah SWT yang sangat besar ertinya dalam kehidupan setiap umat. Ikatan aqidah yang menjadi pegangan setiap Muslim telah menggabungkan kita semua dalam satu jalinan perhubungan yang melangkaui batas darah daging, darjat keturunan, bangsa dan negara. Sepertimana yang dapat kita lihat pada awal Islam, agama ini telah menyatukan Bilal Al-Habsyi, Suhaib Ar-Rumi, Salman Al-Farisi serta Umar Al-Arabi dalam satu saf bersama-sama Rasulullah SAW dalam mengembangkan dakwah Islam. Agama yang kita anuti ini menekankan bahawa jalinan ukhuwwah hanya akan tertegak jika kita sama-sama menjadikan Islam dan Iman sebagai tunjang. Tanpa kedua-duanya, mustahil ukhuwwah akan terjalin kukuh malah akan membawa roboh.

Malangnya kini, nilai tersebut telah merudum ditelan zaman. Seringkali juga kita kita terdengar kata-kata seperti: “Kau tidak layak untuk berdamping denganku kerana kau tidak setaraf denganku.” Ataupun ungkapan: “Kau tidak berhak kerana kau bukan dari jamaah kami”, atau lain-lain ungkapan yang membezakan ‘status’ sesama kita umat Islam. Nah! Hasilnya lahirlah kepelbagaian mazhab, fahaman, aliran, jamaah serta doktrin di kalangan umat Islam. Akibatnya, umat Islam juga yang berpecah-belah.

Sebenarnya, inilah racun yang telah ditanam dalam setiap fikiran umat oleh musuh-musuh Islam iaitu Yahudi dan Nasrani untuk mengekang kemaraan Islam serta umatnya. Kejatuhan Khilafah Uthmaniah pada 1924 adalah bukti kukuh kepada kita lantaran tiupan semangat perkauman dan kebangsaan musuh Islam yang telah melenyapkan terus sistem khilafah yang telah bertapak sekian lama selepas kewafatan baginda Nabi SAW. Ini ditambah lagi dengan perpecahan ummah ketika itu yang mendorong setiap bangsa yang asalnya bernaung di bawah satu pemerintahan bangkit untuk menegakkan negara bangsa masing-masing. Inilah akibatnya jika kita menjalinkan ukhuwah kita atas dasar duniawi dan bukannya agama dan aqidah.

Sesungguhnya, Allah SWT telah berpesan:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُوا
“Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah”.

Rasulullah SAW telah bersabda:

لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه
“Tidak (kurang) beriman seseorang dari kamu sehinggalah dia menyintai saudaranya sepertimana dia menyintai dirnya sendiri.”

Maka apabila semua umat Islam berpegang teguh dengan aqidah Islamiah itulah yang menyatukan mereka, maka sudah barang tentu akan melahirkan serta membuahkan rasa kemanisan iman, di samping indah hidup dalam kebersamaan. Itulah kemuncak nikmatnya kita berada dalam agama rahmah ini.

Perlu diingatkan bahawa perbezaan ideologi yang wujud di kalangan umat Islam mestilah tidak didorong rasa amarah atau mazmumah sebaliknya mesti didorong ke arah yang sihat. Perbezaan pendapat bukanlah bererti permusuhan. Jika kedua-dua musuh Islam iaitu Yahudi dan Nasrani yang mempunyai pelbagai mazhab dan doktrin boleh bersatu dalam menghadapi Islam, kenapa kita tidak boleh? Bertolong bantulah kita dalam perkara yang bersamaan pendapat serta bertolak ansurlah dalam perkara yang kita perselisihkan. Nescaya, akan wujudlah sebuah ummah yang bersatu padu atas dasar aqidah dan iman. Kesatuan inilah yang paling ditakuti oleh musuh-musuh Islam.

Akhir kata, marilah kita semai dan pupuk nilai ini, hari ini bermula dari diri kita, keluarga, masyarakat dan seterusnya ummah seluruhnya. Nescaya, rahmat Allah SWT akan lebih mencurah-curah pada umat yang kukuh dan teguh serta bersatu padu dalam kita menghadapi era globalisasi masa kini.

No comments: