Saturday, September 6, 2008

kaitan ramadhan

 Ramadhan dan ibadah puasa adalah sinonim. Namun, ada juga ibadah-ibadah lain yang juga dikaitkan dengan Ramadhan, antaranya :

1) Ramadhan dan Al-Quran

 Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 185 yang bermaksud: bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil). Ini bermakna, Nabi SAW diangkat menjadi Nabi semasa berada dalam bulan Ramadhan. Semasa itu, ibadah puasa belum disyariatkan sehinggalah tahun 2 Hijri. 5 ayat pertama dari Surah Al-‘Alaq sebagai tanda kenabian, manakala 7 ayat dari Al-Mudatthir pula menandakan bermulanya kerasulan, sepertimana yang digambarkan oleh Ibnu Qayyim dalam Zaadul Mi’ad. Dari sini jelaslah kepada kita bahawa sayugialah kita mengambil kesempatan dalam bulan puasa ini untuk kita memperbanyakkan tilawatul Quran serta bertadabbur (memahami dan meghayati) ayat-ayatnya bersempena dengan bulan ‘kelahiran’ Al-Quran yang diturunkan Allah SWT sebagai panduan kepada seluruh umat Muhammad SAW di akhir zaman.

(2) Ramadhan dan Jihad

 Ramadhan dan semangat jihad tidak dapat dipisahkan. Selain kita berjihad melawan hawa nafsu semasa berpuasa dari godaan syaitan dan runtunan dunia, kita juga dituntut untuk keluar berjihad di medan tempur melawan musuh-musuh Islam jika keadaan memerlukan. Ini dibuktikan semasa awal tahun disyariatkan ibadah puasa, yakni pada tahun 2 Hijri, umat Islam ketika itu bermati-matian berperang melawan kuffar Quraisy dalam Perang Badar demi menegakkan Kalimatullah. Tentera Islam yang berjumlah 315-317 orang terpaksa menghadapi Quraisy yang berjumlah 1000 orang. Namun atas semangat juang yang tinggi, Allah SWT telah menganugerahkan kemenangan yang besar. Selepas kemenangan itu, disyariatkan pula takbir dan tasbih sebagai tanda kesyukuran atas pertolongan Allah SWT dalam perang tersebut. Selain itu, ada beberapa lagi peperangan yang berlaku dalam bulan Ramadhan, termasuklah Fath Makkah dan penaklukan Konstantinople oleh Muhammad Al-Fatih. Kesimpulannya, lapar dan dahaga dalam berpuasa tidak sekali-kali menghalang kita untuk berjuang secara konvensional menghadapi kuffar yang cuba menjatuhkan agama kita.

(3) Ramadhan dan Taqwa

 Inilah kemuncak kepada tujuan disyariatkan ibadah puasa iaitu bertaqwa, seperti firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah pada ayat 183: Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. Maksud taqwa ialah kita melakukan segara suruhan serta meninggalkan larangan Allah SWT dengan penuh ketaatan. Madrasah Ramadhan mengasuh kita agar mengekalkan prestasi kita, yakni kesediaan kita meninggalkan perkara-perkara yang ditegah sepanjang berpuasa dan seterusnya kita dapat melakukan perkara yang sama semasa berada di luar dari bulan Ramadhan. Selain itu, ada lagi ibadat yang tidak disyariatkan di bulan selain dari bulan ini seperti solat tarawih. Sekiranya kita betul-betul mengambil kesempatan Ramadhan untuk membersihkan diri, maka sudah tentu Allah SWT akan memelihara kita dengan perkara-perkara yang diredhai semasa kita berada di luar Ramadhan

Kesimpulannya, sesungguhnya, para salafussoleh sentiasa berdoa agar dipertemukan dengan Ramadhan kerana di dalamnya ada beberapa kelebihan yang tidak terdapat dalam bulan-bulan lain. Labbaika Ya Ramadhan. Kita sama-sama berdoa agar Allah SWT akan mengizinkan kita untuk bertemu lagi dengan Ramadhan pada tahun-tahun yang mendatang, Insya-Allah. Wallahu ‘Alam.

No comments: