Tuesday, May 5, 2009

KONSEP IBADAH

OLEH: IBNU NAJIB




Sesetengah pihak menganggap bahawa dengan melakukan ibadat yang banyak dapat mencapai ‘maqam’ yang tertentu.

“Kalau kamu berzikir sebanyak 10,000 kali di dalam hutan selama 7 hari dan tujuh malam, maka kamu akan dikurniakan kelebihan untuk melihat alam ghaib”. Kata seorang ‘tok guru’ kepada anak muridnya.

Begitulah antara contoh yang biasa kita dengar. Mereka beribadat kepada Allah swt dengan tujuan untuk mengosongkan jiwa seperti yang dilakukan oleh pengamal yoga. Ada pula yang berminat untuk mencapai tahap karamah agar mereka dapat mengetahui alam ghaib, melihat jin dan malaikat, melakukan perkara-perkara yang pelik seperti berjalan di atas air, berada di dua tempat di dalam satu masa dan seumpamanya.

Mereka ini termasuk di dalam firman Allah di dalam surah al Hajj ayat 11: “Dan di antara manusia ada orang yang menyembah Allah dengan berada di tepi. Maka jika ia memperoleh kebajikan, tetaplah dia dalam keadaan itu, dan jika dia ditimpa oleh suatu bencana, berbaliklah dia ke belakang. Rugilah ia di dunia dan di akhirat. Yang demikian itu adalah kerugian yang nyata.”

Sebahagian ulama mentafsirkan kalimah harf sebagai syarat. Seolah-olah mereka mensyaratkan kepada Allah jika mereka mendapat apa yang mereka hajatkan, mereka akan bergembira dan berasa tenang dengan ibadah yang mereka lakukan. Dan jika mereka tidak berhasil apa-apa yang mereka hajatkan, maka segala ibadah yang mereka amalkan selama ini ditinggalkan. Lalu rugilah mereka itu di dunia dan di akhirat.

Persoalan

Persoalannya sekarang, apakah maksud ibadah yang sebenarnya? Adakah ibadah dilakukan kerana ia adalah ibadah atau ianya sekadar wasilah untuk mencapai perkara-perkara tertentu? Dan adakah ibadah menjadi sebab seseorang itu menjadi insan soleh atau seseorang itu menjadi insan soleh kerana ketulusan ibadahnya?

Akhir-akhir ini telah timbul satu fahaman buruk dan bodoh sombong mengenai agama. Mereka mengatakan bahawa tujuan beragama dan beribadah adalah untuk menyucikan jiwa dan mendidik hati. Oleh yang demikian, apabila seseorang itu dapat memenuhi tujuan tersebut dengan apa-apa cara yang lain, maka tidak perlulah lagi mereka kepada agama dan ibadah. Agama dan ibadah bagi mereka sekadar wasilah bukannya tujuan. Oleh kerana merasakan bahawa mereka telah mencapai apa yang Allah kehendaki maka tidak perlulah lagi agama, solat, puasa, zakat, haji dan lain-lain. Kenapa perlu menyusahkan diri dengan semua perkara tersebut sedangkan ada jalan lain untuk mencapai tujuan.

Di sana sekarang ada dua pihak yang melampau dalam memahami agama dan ibadah. Pihak pertama menganggap ibadah dapat menjadikan diri mereka seorang yang mempunyai kesaktian dan karamah. Dan pihak yang satu lagi pula menganggap bahawa mereka tidak perlukan kepada agama dan ibadah untuk menyucikan hati dan jiwa jika ada cara yang lain untuk mencapai tujuan tersebut.

Tujuan Ibadah

Kedua-dua fahaman melampau tersebut ditolak oleh Islam (al Quran dan as Sunnah). Ini kerana ibadah itu sendiri dituntut agar dilaksanakannya dan ianya sendiri merupakan tujuan manusia diciptakan. Ia bukanlah semata-mata wasilah seperti yang disangkakan.
Firman Allah: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.”

Ibadah merupakan hak serta tanggungjawab seorang hamba kepada Tuhannya. Ibadah juga bermaksud agar manusia merasakan dirinya lemah yang hanya bergantung hidup kepada Allah dan merasakan bahawa Allah adalah Tuhannya yang Maha Tinggi dan Maha Besar yang tidak memerlukan kepada sesiapun.

“Wahai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah Dialah yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji. Jika Dia menghendaki, nescaya Dia memusnahkan kamu dan mendatangkan makhluk yang baru (untuk menggantikan kamu). Dan yang demikian itu sekali-kali tidak sulit bagi Allah.” (Surah Faathir: 15-17)

Menzahirkan kehambaan kepada Allah dan mematuhi segala suruhan-Nya merupakan ‘illah (sebab) kepada semua ibadah daripada solat, puasa, zakat, haji, tilawah al Quran, zikir, doa, istighfar dan iltizam dengan hukum halal dan haram. Adapun islah an nafs (membaiki diri), meningkatkan akhlak yang terpuji dan menyucikan hati daripada sifat-sifat yang keji, adalah hasil daripada ibadah yang betul dan sempurna seperti yang dikehendaki oleh Allah. Firman Allah swt: “Wahai manusia, sembahlah Tuhanmu yang Telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertakwa.” (Surah al Baqarah: 21)

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah al Baqarah: 183)

Kalimah (لعّل) di dalam kedua-dua ayat tersebut membawa maksud at tarajji (mengharap) dan bukannya bermaksuk at ta’lil (penyebab). Oleh itu, ibadah dan puasa disyariatkan dengan harapan dan mudah-mudahan orang yang melakukannya menjadi orang yang bertakwa. Dan bukanlah dengan melakukan ibadah dan puasa menjadi sebab kamu bertakwa. Begitu juga dengan firman Allah: “Sesungguhnya Aku Ini adalah Allah, tidak ada Tuhan (yang hak) selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah shalat untuk mengingatiKu.” (Surah Taha: 14)

“Bacalah apa yang Telah diwahyukan kepadamu, yaitu al Kitab (al Quran) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan- perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah (shalat) adalah lebih besar.” (Surah al Ankabut: 45)

Tujuan utama solat seperti yang dinyatakan oleh Allah di dalam kedua-dua ayat di atas adalah untuk hamba bermunajat kepada-Nya serta mengingati-Nya. Walaupun mendirikan solat dapat mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar tetapi maksud solat itu sendiri iaitu untuk mengingati-Nya adalah lebih besar.

Sesiapa yang beribadah seperti solat dan puasa semata-mata untuk menyucikan hatinya (tazkiyah nafs), mendidik dirinya berakhlak mulia dan memperolehi kelebihan tertentu tanpa merasai tanggungjawab sebagai hamba, tunduk, patuh, cinta, rendah diri dan merasa kerdil di hadapan Allah; maka jadilah segala ibadahnya itu sekadar adat dan rutin harian yang dilakukan setiap hari. Ianya tidak ubah seperti orang yang makan dan minum setiap hari demi kesihatan dan keperluan tubuh badannya, tidur untuk kerehatan dirinya dan lain-lain.

Kepelbagaian Dakwah

OLEH: ABU MUSLIM

Dakwah membawa manusia kearah kesatuan dan perdamaian. Namun ada juga kedengaran suara-suara sumbang di antara aktivis-aktivis dakwah sesama mereka. Mereka saling tidak saling memahami dan bertelingkah sesama mereka. Akibatnya, perpecahan berlaku di antara mereka, tersebarnya umpatan-umpatan (ghibah) sesama mereka, banyaknya sangkaan buruk, berlakunya tajassus, terhapusnya ukhuwwah islamiyyah dan imaniyyah sehingga menyebabkan keruntuhan dan kelembapan dakwah.

Hakikatnya, apabila kita melihat kepada medan-medan dakwah kini, kita akan dapati kepelbagaian dakwah atau kepelbagaian jamaah, persatuan, dan parti-parti politik. Natijahnya, lahirnya pelbagai tanggapan dan persepsi terhadap kepelbagaian di kalangan masyarakat secara umum dan di kalangan para aktivis dakwah secara khusus. Ada di kalangan mereka mengharuskan, dan bijak dalam berinteraksi dengan kepelbagaian dakwah. Ada pula di antara mereka tidak bersetuju dan menentang secara keseluruhan dengan mengemukakan beberapa pandangan dan pendapat yang tidak dapat diterima oleh keadaan (waqie’) semasa. Maka, lahirlah beberapa perbezaan method dan uslub dalam mengkritik dan merawat keadaan ini.

Natijah daripada lahirnya beberapa tanggapan dan pandangan membawa kepada suasana yang buruk serta impak yang negatif pada amal islami seperti perpecahan, pergaduhan serta timbulnya fitnah-fitnah yang melemahkan dan melembabkan perjalanan dakwah Islamiyyah di samping membuka ruang kepada musuh-musuh Islam merialisasikan perancangan jahat mereka ke atas gerakan dakwah Islamiyyah.

Disebabkan oleh suasana-suasana tragis yang berlaku di medan dakwah kini, maka kita dapat melihat berdirinya beberapa aktivis bertanya terhadap keharusan kepelbagaian dakwah, bagaimanakah uslub (Method) atau cara berinteraksi dengannya? Apakah pendirian yang sebenar dalam menghadapinya? serta bertanya; Siapakah yang benar pendiriannya? Siapakah yang salah? Ada juga yang bertanya Bagaimanakah cara menghindari kesan-kesan negatif akibat wujudnya kepelbagaian dakwah?

InsyaAllah di sini secara ringkas dan padat, pena cuba mengemukakan beberapa pendapat daripada ulama’ fiqh & dakwah terhadap kepelbagaian dakwah atau menurut panggilannya yang masyhur di Malaysia sebagai “Ta’addut Jama’aat” -kepelbagaian jamaah. Selebihnya pena memberi pilihan kepada pembaca memilih di antara pro atau kontra kerana ia hanya merupakan “pendapat” yang boleh diterima dan ditolak atau dibincang, dikaji dan dikritik seperti, pendapat-pendapat ijtihadi daripada para fuqaha’ terhadap hukum-hakam fiqh Islami.

Di antara ulama’ dakwah seperti al ustaz ad daie Dr Fathy Yakan, Dr Soleh Fauzan, Syeikh Bakr Abu Zaid dan lain-lain berpendapat bahawa kepelbagaian dakwah atau kepelbagaian jamaah merupakan suasana, atau keadaan yang tidak sihat di medan dakwah kini di samping menolak dan tidak bersetuju dengannya. Dalil-dalil yang dikemukakan oleh mereka yang terbahagi daripada nas-nas al-Quran (naqli) dan dalil akal (aqli):

Ayat-ayat yang menerangkan tentang kesatuan Ummah Islamiyyah:

Firman Allah SWT : “Sesungguhnya (agama Tauhid) ini, adalah agama kamu semua, agama yang satu,dan Aku adalah Tuhanmu, Maka bertakwalah kepada-Ku”. (Al-Mukminun :52)
“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai……..”(Al-Imran : 103)

Dr Fathy Yakan berkata: “Sesungguhnya tidak syak lagi bahawa asal pada syariah Islamiyyah adalah kesatuan muslimin, kesatuan amal Islami, dan kesatuan saf-saf muslimin, bukanlah kepelbagaian, dan perpecahan, kesatuan diiktibarkan sebagai kefarduan syariah… (Majalah Al-Mujtama’ Kuwait) dan beberapa lagi kitab Dr Fathy Yakan yang menerangkan tentang kepentingan kesatuan dan menolak kepelbagaian jamaah seperti di dalam kitabnya “Tasawwur Asasi Gerakan Islam”– terjemahan Dewan Pustaka Fajar – dan lain2. Ada juga beberapa ulama mengatakan bahawa kepelbagaian dakwah dan kepelbagaian jamaah, kesan buruknya lebih banyak daripada baiknya, serta ia membawa kepada perpecahan, perselisihan dan menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat seperti tidak mengetahui jamaah manakah yang betul dan salah. Ada juga yang berpendapat bahawa kepelbagaian dan banyaknya jamaah merupakan seruan musuh Islam bagi memecah-belahkan ummat Islam.

Kajian serta perbincangan dalil-dalil tersebut:

Perbincangan terhadap dalil-dalil di atas; pena akan mengemukakan secara terus jawapan-jawapan bagi persoalan penolakan kepelbagaian dakwah dan jamaah daripada ulamak yang menolaknya serta mengemukakan pandangan ulama yang menyokong beserta dalil-dalil mereka .

Dalil daripada nas-nas al-Quran yang menerangkan tentang kesatuan ummah Islamiyyah serta melarang daripada perselisihan dan perpecahan membawa kepada maksud perselisihan dalam beragama, yaitu perselisihan pada hukum-hukum usul dan dalil-dalil qat’ei seperti akidah dan lain-lain tidak membawa kepada maksud larangan kepelbagaian dakwah dan jamaah serta larangan daripada kepelbagaian uslub dan pendekatan. Seperti yang telah diketahui oleh pembaca, bahawa jamaah-jamaah Islam yang wujud di Malaysia secara khususnya tidak terkeluar akidahnya daripada manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah serta mempunyai objektif yang sama yaitu berdakwah kepada Islam menurut pendekatan serta uslub-uslub (method) tersendiri yang tidak terkeluar daripada syariat Islam.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya (agama Tauhid) ini, adalah agama kamu semua, agama yang satu ,dan Aku adalah Tuhanmu, Maka bertakwalah kepada-Ku”. (Al-Mukminun :52)

Golongan yang menolak kepelbagaian dakwah dan jamaah menggunakan ayat tersebut dan melupakan dalil-dalil yang menerangkan tentang kepelbagaian. Firman Allah SWT: “…tiap-tiap umat diantara kamu, kami berikan aturan-aturan dan jalan-jalan yang terang”. (Al-Maidah :48)

Di sini, para ulama menerangkan kepentingan menggabungkan di antara nas-nas di atas supaya tidak menimbulkan kekeliruan yang mengatakan nas-nas tersebut bertentangan di antara satu sama-lain. Secara ringkasnya daripada tafsir Imam al-Khozin: “Nas-nas yang menerangkan tentang kesatuan umat Islam membawa kepada maksud kesatuan dari segi usul syariah, perkara-perkara yang thabit qat’ei yang tidak boleh berselisih pendapat, dan berijtihad padanya, yang secara minimanya menerangkan tentang kesatuan umat Islam secara umumnya dan setiap perkara yang terkeluar daripada perkara-perkara ini merupakan telah terkeluar daripada Islam, kerana agama Islam itu satu, tidak berbagai…..” (Tafsir Khozin)

Persoalan: Adakah di sana terdapat perbezaan atau makna yang bertentangan di antara kesatuan dan kepelbagaian dalam Islam? Jawapan: Kesatuan tidaklah bertentangan dengan kepelbagaian, ini kerana kepelbagaian bermaksud kepelbagaian dalam lingkungan yang satu (aqidah & tawabit qat’ie), seperti akar pokok, akar yang satu, tetapi mempunyai dahan-dahan, daun-daun serta buah-buah yang berbagai.

Bagi pendapat yang menolak kepelbagaian dakwah dan jamaah kerana membawa kepada kekeliruan pada masyarakat seperti tidak mengetahui jamaah manakah yang betul dan salah adalah satu hukum yang tidak lurus, kerana seorang muslim tidak diminta menghukum terhadap jamaah-jamaah tersebut, dan apa yang menjadi kewajipan baginya ialah berusaha dalam beramal, berdakwah kepada Allah mengikut kemampuannya serta memilih jamaah yang diyakini dari aspek pendekatan atau uslub untuk tindakan bersama (jama’ie).

Bagi pendapat yang mengatakan kepelbagaian dakwah dan jamaah merupakan seruan daripada musuh Islam, tidak boleh dijadikan dalil untuk menolak serta melarang kepelbagaian dakwah dan jamaah. Ini kerana musuh-musuh Islam bertindak pada titik-titik kelemahan aktivis dalam berinteraksi dengan kepelbagaian dakwah dan jamaah dengan menghamburkan racun-racun fitnah seperti taasub kepada jamaah dan individu serta menjadikan perselisihan pendapat sebab untuk berpecah. Kita juga melihat mereka sendiri (musuh-musuh Islam) menjadikan kepelbagaian sebagai usul dan uslub daripada uslub-uslub mereka dalam sistem demokrasi.

Al-Ustaz asy-Syeikh Muhammd Qutb mengatakan dalam kitabnya “Al-Muslimun wal ‘Aulamah” “Agama Islam adalah agama Allah yang mengiktiraf berbagai-bagai pendapat (ikhtilaf) seperti keadaan kini, Allah menfardukan pada ciptaan-Nya menurut hikmah yang dikehendaki-Nya. Firman Allah SWT: Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat, kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh tuhan-mu , Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka. (Huud: 118-119)

Beliau juga menjelaskan tentang makna Tajarrud dalam kitabnya (Makanah at-Tarbiyyah Fi al-Amal Islamiy) beliau mengatakan: “Tidaklah aku maksudkan disini ikhtilaf (perbezaan pendapat) yang wujud kini di medan dakwah kerana ikhtilaf pada dzaatnya tidaklah merupakan satu keaiban dan bukan merupakan satu perkara yang membahayakan”. Asy-Syeikh Dr Taufiq al-Wa’ie mengatakan dalam kitabnya “Al-Amal Jamaie” dalam tajuk: “Adakah wujud pada agama Islam arus-arus (kepelbagaian) yang berbeza-beza?” beliau mengatakan: “Sesungguhnya Islam seperti yang kita ketahui merupakan agama yang jelas dari segi usul dan objektifnya (ghayah) dan tidak ada perselisihan di antara dua orang muslim. Tetapi di sana terdapat ijtihad-ijtihad yang benar dan pelbagai daripada nas-nas dan terdapat juga pelbagai cara dan uslub untuk mengislah dunia dan muslimin dalam lingkungan yang halal. Rasulullah SAW bersabda: Kamu lebih mengetahui urusan dunia-mu. (Riwayat Muslim) Dalam lingkungan yang ditetapkan Islam serta tidak bertentangan dengan nas. Pandangan kepada sesuatu perkara serta menghukum sesuatu perkara berbeza di antara peribadi-peribadi seperti berbezanya corak pemikiran di antara mereka …”

Banyak lagi dalil-dalil daripada ulama’-ulama’ fiqh dan dakwah kontemporari seperti Syiekh Dr Yusouf al-Qhardawi, Dr Taufiq Wa’ie, Syeikh Muhammad Qutb, Dr Muhammad Abu Fath al-Bayanuniy, Dr Solah as-Sowiy dan lain-lain lagi yang bersetuju dan menyokong kepelbagaian dakwah dan jamaah dan saling tolong-menolong serta lengkap-melengkapi di antara mereka di samping menjaga adab-adab dalam perbezaan pendapat dan jauh sekali daripada perpecahan yang menghasilkan kerugian pada amal Islami.

Kesimpulan daripada perbahasan yang serba ringkas ini pena ingin menegaskan bahawa kepelbagaian merupakan sunnah (tabiat) alam pada sekalian makhluk dan kepelbagaian ini merangkumi pada setiap aspek kehidupan manusia yang di antaranya ialah kepelbagaian uslub dan pendekatan dalam berdakwah. Agama merupakan asal usul aqidah Islamiyyah tidak berbeza dan berbagai. Kebenaran (al-haq) dinisbahkan kepada Allah SWT merupakan kebenaran yang satu dan tidak berbagai. Namun pandangan apabila dinisbatkan kepada para mujtahidin dan manusia umum adalah berbeza dan pelbagai (betul/salah).

Wahai jamaah-jamaah Islam, saling melengkapilah di antara satu sama lain atau tidak akan tertegak Syariah Islamiyyah didunia ini!