Monday, November 17, 2008

bekerjalah!!!!

Saudara,

Lakukanlah, jangan sekadar di ucapan. Beramallah, jangan hanya meminta kepada Allah. Kata-kata ibarat pedang, namun akan tumpul apabila tidak disertakan dengan amal. Mana mungkin seorang ayah yang merokok berjaya melarang anaknya daripada merokok. Tetapi tidak ada siapa pun yang mahu melihat anaknya menjadi jahat. Maka beramallah saudara, jangan sekadar ucapan. Perhatikan nasihat Imam Syafi’ei rahimahumullah yang berbunyi: “Siapa yang menasihati saudaranya dengan perilakunya, maka dialah pemberi petunjuk sebenar”.

Saudara,

Mari bersama saling menggenggam tangan. Merapatkan lagi kekuatan barisan kita. Perjalanan kita masih jauh. Tak usah lihat pada negara lain dan tak usah bersusah mencari salah orang. Pokoknya ialah bermula dari diri sendiri dan keluarga. Jangan jadi seperti orang mati yang hidup. Tidak menghiraukan kemungkaran yang berlaku. Begitulah ungkapan Huzaifah bin Yaman ketika diminta sepaya mengulas istilah al-mayyit al-hayy(orang mati yang hidup): “Orang mati yang hidup ialah mereka yang tidak melarang kemungkaran dengan tangannya, lisannya dan hatinya”. (ihya ulumuddin)

Saudara,

Jangan hanya tahu menadah tangan memohon pertolongan tanpa mengambil sebab kemenangan. Allah SWT tidak akan kabulkan doa saudara jika tidak menepati syaratnya. Jangan bazirkan masa. Musuh kita semakin hampir. Benar tuhan itu Maha Pemurah dan Maha Pengampun. Firman Allah ta’ala: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang aku, Maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (al-baqarah : 186)

Syarat penerimaan doa kita ialah dengan mentaati perintah Allah ta’ala. Kita perhatikan pula di dalam hadis ini. Rasulullah SAW bersabda: “ Wahai manusia, sesungguhnya Allah SWT berkata kepada kamu sekalian: Serulah kepada kebaikan(ma’ruf) dan cegahlah kemungkaran sebelum kamu berdoa. Aku tidak akan menjawab permintaanmu. Apabila kamu meminta, aku tidak akan berikan dan apabila kamu meminta tolong, aku tidak akan menolong kamu”. (hadis ibnu Majah dan ibnu Hibban di dalam sohihnya)/(Targhib wa Tarhib)

Saudara,

Alangkah ruginya jika doa kita tidak diterima. Kenalilah mana baik dan mana buruk. Lisan yang baik hanya akan lahir daripada hati yang baik. Hati yang bersih pula lahir dari ilmu yang shohih. Firman Allah ta’ala: “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya”. (al-Isra’ : 36) Imam Qatadah di dalah tafsir Thobari menafsirkan mengenai ayat ini: “Jangan kamu katakan kamu lihat apa yang kamu tidak nampak, aku dengar sedangkan engkau tidak mendengar pun, aku tahu sedangkan aku tidak tahu”. Kesimpulannya, berhati-hati ketika berbicara.

Saudara,

Menyeru kepada yang ma’ruf bererti membawa kedamaian, perpaduan dan kebersamaan. Bukan perpecahan dan huru hara. Ramai yang bercakap “ikut suka aku”, tanpa ambil peduli hati dan perasaan orang lain. Tanpa menghiraukan batas-batas syariat, mengundang maslahah atau mafsadah. Ibnu Abbas berkata: Jika kamu hendak menyebut keburukan orang lain, sebut keburukan dirimu dahulu. Sufyan as-Thauri berkata: Jauhilah daripada mengumpat, ia akan merosakkan agamamu.

Semoga Allah SWT melimpahkan kepada kita untuk menyeru manusia ke jalan Allah dan mendahulukan lisanulhal kita sebelum ucapan. Inilah jalan kita yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Sedarlah kebinasaan bani Israil ialah kerana mereka tidak berjalan di atas manhaj ini. Firman Allah SWT: “Telah dila'nati orang-orang kafir dari Bani Israil dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. yang demikian itu, disebabkan mereka durhaka dan selalu melampaui batas. Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu”. (al-Maidah : 78-79)

No comments: