Thursday, April 2, 2009

SAAD BIN ABI WAQAS

OLEH: ABU 'IYASH

Beliau adalah Abu Ishak Malik bin Wuhaib bin Abdi Manaf bin Zuhrah bin Kilab bin Murrah, dan ibunya bernama Hamnah. Beliau memeluk Islam ketika umurnya masih muda iaitu 17 tahun dan di antara sahabat Nabi SAW yang dijanjikan syurga secara khusus. Sejarah Islam menyatakan bahawa beliau adalah orang yang ketiga memeluk Islam, orang yang pertama yang melancarkan anak panah dalam perang Fi Sabilillah, turut serta dalam semua peperangan yang disertai oleh Rasulullah SAW, pernah menjadi menjadi Gabenor ketika khilafah Umar dan Uthman serta menjadi salah seorang dari ahli Majlis Syura bersama-sama Uthman, Ali, Thalhah, Zubair, Abdul Rahman Auf, Said bin Zaid dan Abu Ubaidah Al-Jarrah.

Saad bin Abi Waqqas seorang yang rendah tubuhnya serta kehitam-hitaman kulitnya. Menurut Ibnul Jauzi dalam Sifatus Sofwah, beliau dikurniakan dengan 34 orang putera dan puteri antaranya Ishak Al-Akbar, Ummul Hakam Al-Kubra, Umar, Muhamad, Hafsah, Ummul Qasim, Kalthum, Amir, Ishak As-Sughra, Ismail, Ummu Imran, Ummul Hakam As-Sughra, Ummu Amru, Hindun, Ummu Zubair, Ummu Musa, Abdullah, Mus’ab, Abdullah Al-Asghar, Abdul Rahman, Humaidah, Umair Al-Akbar, Hamnah, Umair Al-Asghar, Amru, Imran, Ummu Amru, Ummu Ayyub, Ummu Ishak, Soleh, Uthman, Ramlah, ‘Amrah dan Aishah. Beliau pernah menikahi seramai 9 orang isteri iaitu anak perempuan Syihab bin Abdullah, Muawiyah binti Qais, Ummu Amir binti Amru, Khaulah binti Amru, Ummu Hilal binti Rabi’, Ummu Hakim, Salma binti Hafsah, dan Zabiah binti Amir.

Dari Said Al-Musayyib, bahawasanya Saad pernah menyatakan bahawa beliau memeluk Islam ketikamana orang lain belum menerima seruan Islam dan insan yang ketika masuk Islam selepas Khadijah dan Abu Bakar. Ali bin Abi Talib menaqalkan seperti yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah SAW tidak pernah bersumpah atas nama ibu bapa baginda melainkan kepada Saad seperti sabda baginda SAW ketika Perang Uhud: “Lancarkan panahmu wahai Saad! Aku bersumpah dengan kedua ibu bapaku”. Malah, Rasullullah SAW juga pernah mendoakan beliau dengan sabdanya: “Ya Allah! Berikanlah ketepatan dalam setiap lontaran anak panahnya, serta kabulkanlah segala doanya”. Allah SWT telah mengabulakan doa baginda SAW tersebut melalui doa Saad yang mana beliau pernah berdoa: “Wahai Tuhanku! Janganlah Kau matikan aku hinggalah anak-anakku baligh”, dan doanya itu termakbul. Dalam riwayat yang lain, dinyatakan bahawa Ibnu Umar pernah bertanya kepada Umar Al-Khattab tentang perbuatan menyapu air di atas khuf seperti yang dilakukan oleh Saad, maka jawab Umar: “Jika kamu dapati Saad melakukan sedemikian maka kamu tidak perlu sangsi tentangnya kerana sudah pasti dia (Saad) mengambilnya (perbuatan menyapu air pada khuf) daripada Rasulullah SAW”.

Abu Ishak Saad bin Abi Waqqas meninggal dunia semasa umurnya mencecah 70 tahun atau 82 tahun pada tahun 55 Hijri, iaitu sahabat yang terakhir yang meninggal dunia dari kalangan Asyarah Al-Mubasyirin (10 Yang Dijanjikan Syurga) di Aqiq, kira-kira 10 batu dari Madinah Al-Munawwarah. Beliau disemadikan dengan dikafani pakaian yang pernah dipakainya semasa menyertai Perang Badar di tanah perkuburan Baqi’ di Madinah. Anas menyatakan: Saad mati di Aqiq lalu dibawa pulang ke Madinah untuk disemadikan di situ. Ramai sahabat baginda SAW yang turut hadir pada pengkebumiannya termasuklah para isteri Rasullullah SAW sepertimana yang dinyatakan oleh Aishah bahawasanya beliau dan Ummahatul Mukminin yang lain turut serta ketika jenazah Saad dihantar ke Masjid Nabi SAW untuk disembahyangkan.

No comments: