Sunday, September 7, 2008

hakikat puasa dan diri manusia

Kita tidak dapat menyingkap rahsia atau hikmah puasa sehingga kita mengetahui rahsia atau hakikat pada diri kita. Tubuh badan manusia yang diciptakan Allah SWT, adakah hanya sebuah haikal dan jisim yang terkumpul daripada daging-daging, tulang-tulang dan darah sahaja? Jika manusia hanya sekadar tubuh yang di lihat dari sudut zhohiri atau luaran, betapa hina dan celakanya manusia..!!

Bukanlah manusia itu hanya pada jisim yang boleh disentuh sahaja, tetapi manusia juga terdiri daripada ruh samawi yang menetap di dalam tubuh insan. Ruh inilah yang menghidupkan, menggerakkan, tubuh. Membuat manusia berfikir dan merenung hakikat alam dan hakikat diri. Tanpa ruh daripada Allah SWT, tubuh adalah mayat kaku yang tiada memberi manfaat apa-apa.

 Dengan adanya ruh manusia dimuliakan dan diangkat darjatnya sehingga Allah SWT memerintahkan para malaikat supaya sujud menghormati Adam AS. Para malaikat sujud bukan pada tubuh yang dibentuk daripada seketul tanah, tetapi mereka sujud setelah ditiupkan ruh kedalam jasad manusia. Firman Allah SWT:

إِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلاَئِكَةِ إِنِّي خَالِقٌ بَشَرًا مِنْ طِينٍ{ فَإِذَا سَوَّيْتُهُ وَنَفَخْتُ فِيهِ مِنْ رُوحِي فَقَعُوا لَهُ سَاجِدِينَ
“(Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia dari tanah". Maka apabila telah Kusempurnakan kejadiannya dan Kutiupkan kepadanya roh (ciptaan) Ku; maka hendaklah kamu tersungkur dengan bersujud kepadanya".” (Shad: 71-72)

 Celakalah bagi manusia yang hanya mementingkan tubuh tanpa memberikan hak kepada ruh mereka. Seolah-olah sebuah rumah yang hanya dilihat indah luarannya tetapi kotor dan berselerak di dalam. Makan dan minum hanya untuk menguatkan jasad sambil memenuhi syahwat mereka. Syiar mereka hanya seperti ungkapan syair arab:

إنما الدنيا طعــــام وشراب ومنـــــام
فإذا فــــــــاتك هذا فعلى الدنيـا سلام!

Sesungguhnya dunia ini adalah makanan, minuman dan kerehatan. Apabila kamu meninggalkan semua ini, maka ucaplah selamat tinggal kepada dunia!

Allah ta’ala menyifatkan mereka ini seperti dalam firmanNya:
أَرَأَيْتَ مَنْ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنْتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلاً { أَمْ تَحْسَبُ أَنَّ أَكْثَرَهُمْ يَسْمَعُونَ أَوْ يَعْقِلُونَ إِنْ هُمْ إِلاَّ كَالأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ سَبِيلاً
“Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya. Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya? Atau apakah kamu mengira bahwa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami. Mereka itu tidak lain, hanyalah seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat jalannya (dari binatang ternak itu).” (al-Furqon: 43-44)

Manakala manusia yang mengenali hakikat diri mereka akan sentiasa mengadili kemahuan tubuh melalui akal yang sihat serta menyedari manusia adalah jasad dan ruh. Kehendak ruh tidak boleh ditundukkan oleh kehendak jasad kerana manusia lebih berhajat kepada ruh daripada jasad. Mereka inilah orang-orang yang beriman, bertaqwa dan mendapat tempat di sisi Allah ta’ala dengan mengambil akhirat sebagai tujuan sebenar kehidupan. Darjat mereka lebih tinggi dari para malaikat sebagaimana firman Allah SWT:

{إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُوْلَئِكَ هُمْ خَيْرُ الْبَرِيَّةِ}
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh mereka itu adalah sebaik-baik makhluk.” (al-Baiyinah: 7)

No comments: