Saturday, August 16, 2008

ukhuwwah islamiah

oleh: abu 'iyash


Ukhuwwah Islamiah adalah salah satu nikmat Allah SWT yang sangat besar ertinya dalam kehidupan setiap umat. Ikatan aqidah yang menjadi pegangan setiap Muslim telah menggabungkan kita semua dalam satu jalinan perhubungan yang melangkaui batas darah daging, darjat keturunan, bangsa dan negara. Sepertimana yang dapat kita lihat pada awal Islam, agama ini telah menyatukan Bilal Al-Habsyi, Suhaib Ar-Rumi, Salman Al-Farisi serta Umar Al-Arabi dalam satu saf bersama-sama Rasulullah SAW dalam mengembangkan dakwah Islam. Agama yang kita anuti ini menekankan bahawa jalinan ukhuwwah hanya akan tertegak jika kita sama-sama menjadikan Islam dan Iman sebagai tunjang. Tanpa kedua-duanya, mustahil ukhuwwah akan terjalin kukuh malah akan membawa roboh.

Malangnya kini, nilai tersebut telah merudum ditelan zaman. Seringkali juga kita kita terdengar kata-kata seperti: “Kau tidak layak untuk berdamping denganku kerana kau tidak setaraf denganku.” Ataupun ungkapan: “Kau tidak berhak kerana kau bukan dari jamaah kami”, atau lain-lain ungkapan yang membezakan ‘status’ sesama kita umat Islam. Nah! Hasilnya lahirlah kepelbagaian mazhab, fahaman, aliran, jamaah serta doktrin di kalangan umat Islam. Akibatnya, umat Islam juga yang berpecah-belah.

Sebenarnya, inilah racun yang telah ditanam dalam setiap fikiran umat oleh musuh-musuh Islam iaitu Yahudi dan Nasrani untuk mengekang kemaraan Islam serta umatnya. Kejatuhan Khilafah Uthmaniah pada 1924 adalah bukti kukuh kepada kita lantaran tiupan semangat perkauman dan kebangsaan musuh Islam yang telah melenyapkan terus sistem khilafah yang telah bertapak sekian lama selepas kewafatan baginda Nabi SAW. Ini ditambah lagi dengan perpecahan ummah ketika itu yang mendorong setiap bangsa yang asalnya bernaung di bawah satu pemerintahan bangkit untuk menegakkan negara bangsa masing-masing. Inilah akibatnya jika kita menjalinkan ukhuwah kita atas dasar duniawi dan bukannya agama dan aqidah.

Sesungguhnya, Allah SWT telah berpesan:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُوا
“Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah”.

Rasulullah SAW telah bersabda:

لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه
“Tidak (kurang) beriman seseorang dari kamu sehinggalah dia menyintai saudaranya sepertimana dia menyintai dirnya sendiri.”

Maka apabila semua umat Islam berpegang teguh dengan aqidah Islamiah itulah yang menyatukan mereka, maka sudah barang tentu akan melahirkan serta membuahkan rasa kemanisan iman, di samping indah hidup dalam kebersamaan. Itulah kemuncak nikmatnya kita berada dalam agama rahmah ini.

Perlu diingatkan bahawa perbezaan ideologi yang wujud di kalangan umat Islam mestilah tidak didorong rasa amarah atau mazmumah sebaliknya mesti didorong ke arah yang sihat. Perbezaan pendapat bukanlah bererti permusuhan. Jika kedua-dua musuh Islam iaitu Yahudi dan Nasrani yang mempunyai pelbagai mazhab dan doktrin boleh bersatu dalam menghadapi Islam, kenapa kita tidak boleh? Bertolong bantulah kita dalam perkara yang bersamaan pendapat serta bertolak ansurlah dalam perkara yang kita perselisihkan. Nescaya, akan wujudlah sebuah ummah yang bersatu padu atas dasar aqidah dan iman. Kesatuan inilah yang paling ditakuti oleh musuh-musuh Islam.

Akhir kata, marilah kita semai dan pupuk nilai ini, hari ini bermula dari diri kita, keluarga, masyarakat dan seterusnya ummah seluruhnya. Nescaya, rahmat Allah SWT akan lebih mencurah-curah pada umat yang kukuh dan teguh serta bersatu padu dalam kita menghadapi era globalisasi masa kini.

TAFSIR AL-ISTI’AZAH

oleh: abu 'iyash


أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
Maknanya: Aku mohon perlindungan dengan Allah dari syaitan yang direjam

Kalimah Isti’azah ini bermaksud aku berpegang teguh dengan nama Allah serta memohon bantuanNya melindungi diriku dari kejahatan dan godaan syaitan yang terlaknat di sisi Allah SWT, yang akan merosakkan aku dalam urusan agamuku dan duniaku atau yang akan memesongkan aku dari melaksanakan perintah Allah SWT serta mendorong aku untuk melakukan larangan-larangan Allah SWT. Ini kerana hanya Allah SWT sahajalah yang berkuasa melindungi insan dari segala pujuk rayu syaitan selain hasutan-hasutan jahat dari jin dan manusia. Ini dibuktikan dengan firmanNya dalam Surah An-Nas, ayat 1 hingga 6.
Kalimah Allah pada Isti’azah ini bermakna: nama bagi zat Yang Maha Agung, yakni zat yang mempunyai nama-nama yang baik serta bersifat dengan segala sifat yang sempurna dan amat jauh dari sifat-sifat yang jelek dan tercela. Hanya Allah SWT satu-satunya اله (sembahan yang Maha Esa) dan ربyakni pencipta serta pengawal seluruh alam dan makhluk-Nya. Manakala kalimat شيطان berasal dari perkataan شطن membawa erti: yang menjauhkan. Syaitan adalah makhluk yang Allah SWT dari api sepertimana firmanNya dalam Surah Ar-Rahman, ayat ke-15:

وَخَلَقَ الْجَانَّ مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ
“Dan Dia menciptakan jin dari nyala api.”

Selain itu, syaitan juga diistilahkan sebagai segala perbuatan yang keji atau maksiat pada diri manusia. Ini berdasarka kepada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang bermaksud: “Hasad adalah syaitan dan marah adalah syaitan”.

Allah s.w.t memerintahkan hambaNya agar senantiasa memohon perlindunganNya dari syaitan, seperti yang diungkapkan dari firmanNya dalam Surah Al-Araf, ayat 200:

وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
“Dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan setan, maka berlindunglah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

serta satu lagi firmanNya pada Surah An-Nahl ayat 98 yang berbunyi:

فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
“Dan apabila kamu membaca Al-Quran maka hendaklah kamu memohon perlindungan dari syaitan yang direjam”.

Di sini boleh kita katakana bahawa Allah SWT tidak jemu-jemu menyeru umat manusia yang lemah ini agar sentiasa memulakan amalan-amalan kita dengan meminta perlindungan dariNya daripada gangguan syaitan laknatullah yang tidak pernah bosan mencari serta mengintai peluang untuk menyesatkan anak cucu Adam a.s sehingga hari kiamat. Ini berdasarkan janjinya dengan Allah SWT yang mana dia akan seberapa daya menarik sebanyak mungkin umat manusia agar terjebak dengan pujuk rayunya, melainkan hamba-hamba Allah SWT yang benar-benar ikhlas dalam amalan-amalan mereka.
Malah Rasulullah SAW yang terpelihara dari sebarang dosa dan noda juga turut meminta perlindungan Allah SWT dari tipu daya syaitan sepertimana yang dikutip dari sebuah hadis riwayat ahli Sunan dan Ahmad dari Abu Said Al-Khudri yang menyatakan: “Rasulullah apabila bangun pada waktu malam, beliau akan memulai solatnya dengan takbir, puji-pujian lantas berdoa: Aku mohon perlindungan dengan nama Allah Yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui dari syaitan yang direjam”.

Dari sini, jelaskan kepada kita bahwa semua anak Adam tidak akan terlepas dari bisikan manis syaitan menyesatkan. Lantaran itu, amat perlu kita sebagai hamba yang lemah memohon perlindunganNya agar tidak terperangkap dengan pujuk rayu syaitan yang direjam lagi dilaknat Allah SWT.

ibadah dan kepercayaan

oleh: abu muslim

Keimanan yang suci dan benar yang lahir daripada “Sihhatul I’tiqod”(Kepercayaan yang murni) dan “Sidqu Ittiba’”(Ikutan yang benar) merupakan tanda-tanda “Saliimul Aqidah”(aqidah yang sejahtera) bagi seorang Mukmin Al-Haq (believer). Hasil daripada aqidah yang sejahtera akan membuahkan “Ibadah As-sohih” yang akan menghindarkan dirinya daripada perkara-perkara bid’ah dan khurafat. Segalanya terdapat pada seorang mukmin yang dapat merasai kemanisan Iman dan sentiasa menghiasi dirinya dengan “Mujahadah” yang berterusan. Ber-mujahadah melawan diri dan nafsunya serta hasutan-hasutan syaitan . Maka Allah mencampakkan kedalam hatinya “Nur Al-yaqin”(cahaya keyakinan)merupakan benteng yang menjaganya daripada segala keraguan dan perkara shubhat. Dengan keimanan yang benar dia berinteraksi dengan manusia dan seluruh kehidupannya. Membina hubungan silaturrahim, memaafkan kepada siapa yang menzaliminya,dan memberi kepada siapa yang menghalangnya, merupakan sifat dan anugerah daripada Allah kepada sesiapa yang dikehendakinya. Kadang kita dapat melihat dan mendengar individu tersebut dapat mengungkapkan sesuatu perkara yang tidak dapat diungkap oleh orang lain dan dapat membezakan diantara perkara-perkara syubhat dan unsur-unsur luar yang tiada kaitan dengan agama serta lahir daripadanya perkara-perkara yang menyalahi adat tabi’e dari kehidupan seharian seperti ilham,lintasan hati, kasyaf dan mimpi.
Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَتَّقُوا اللَّهَ يَجْعَلْ لَكُمْ فُرْقَانًا
“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu bertakwa kepada Allah, niscaya Dia akan memberikan kepadamu furqaan(petunjuk yang dapat membezakan antara yang haq dan batil”) -Al-Anfal:29-

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَآمِنُوا بِرَسُولِهِ يُؤْتِكُمْ كِفْلَيْنِ مِنْ رَحْمَتِهِ وَيَجْعَلْ لَكُمْ نُورًا تَمْشُونَ بِهِ وَيَغْفِرْ لَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
“Hai orang-orang yang beriman (kepada para rasul), bertakwalah kepada Allah dan berimanlah kepada Rasul-Nya, niscaya Allah memberikan rahmat-Nya kepadamu dua bagian, dan menjadikan untukmu cahaya yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan dan Dia mengampuni kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”,- Al-Hadid:28 –

وَجَعَلْنَا لَهُ نُورًا يَمْشِي بِهِ فِي النَّاسِ
“…dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia”- Al-An’am:122 –

وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ
“Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar. Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami.”- As-Sajidah:24 –

فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُمْ مِنِّي هُدًى فَمَنْ اتَّبَعَ هُدَايَ فَلاَ يَضِلُّ وَلاَ يَشْقَى * وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَى
Maka jika datang kepadamu petunjuk daripada-Ku, lalu barang siapa yang mengikut petunjuk-Ku, ia tidak akan sesat dan tidak akan celaka.* Dan barang siapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta".( Taaha:123-124 )

اتقوا فراسة المؤمن , فإنه يننظر بنور الله
“ Takutilah firasat mukmin,kerana sesungguhnya ia melihat dengan cahaya Allah”
(Hadith Marfu’ Riwayat Tarmizi)

Islam berpandangan bahawasanya ilham,lintasan hati,kasyaf dan mimpi merupakan perkara-perkara yang thabit dan tidak boleh ditolak secara keseluruhannya. Meskipun demikian ,bukanlah tergolong dari dalil-dalil yang tersendiri kerana di sana berlaku keasingan dan banyak bercampur dengan sangkaan-sangkaan. Oleh itu , ia tidak boleh dipegang. Sekiranya ditanya “ Apakah faedah kewujudannya?” Dijawab: Ia diterima sekiranya tidak bertentangan dengan Al-quran dan As-Sunnah.
Hakikatnya, disana terdapat beberapa golongan yang mendakwa diri mereka sebagai “Wali Allah” atau “Ahli sufi” dan berpandangan bahawa apa yang lahir dari mereka dari ilham, lintasan hatinya dan segala yang dilihatnya menembusi hijab serta pengikut-pengikut mereka menjadikannya sebagai sumber hukum syariah walaupun ada yang diantaranya menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah serta mengharamkan apa yang dihalalkan oleh-NYA. Kita tidak menafikan disana terdapat golongan-golongan sufi yang benar Iman dan ibadatnya selari dengan Al-qur’an dan Sunnah. Namun ,neraca penimbang bagi seorang muslim ialah Al-quran dan As-Sunnah. Segala perkara yang bertentangan dengan Al-qur’an dan Sunnah Rasulullah SAW tertolak dan tidak diiktiraf sama sekali. Oleh itu , dalam menjaga kesucian sumber hukum-hakam pensyariatan Islam dari dikotori dan dinodai oleh anasir-anasir yang berbentuk syubhah dan khurafat para alim ulama menetapkan method dan prinsip terhadap segala persoalan ini iaitu :
" وللإيمان الصادق والعبادة الصحيحة والمجاهدة نور وحلاوة يقذفها الله في قلب من يشاء من عباده . ولكن الإلهام والخواطر والكشف والرؤى ليست من أدلة الأحكام الشرعية . ولا تعتبر إلا بشرط عدم اصطدام بأحكام الدين ونصوصه "
( Iman yang benar , ibadah yang sah dan mujahadah merupakan cahaya dan kemanisan yang dicampakkan oleh Allah ke dalam hati sesiapa yang dikehendaki di kalangan hamba-hamba-Nya . Tetapi ilham, lintasan-lintasan hati, kasyaf ,dan mimpi bukanlah dalil-dalil hukum syara’. Ia tidak diambil kira kecuali dengan syarat tidak berlawanan dengan hukum agama serta nash-nash-Nya) - Usul 20 Al-Banna –
Sabda Rasulullah SAW:
(( تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما مسكتم بهما : كتاب الله وسنة نبيه))
“ Aku tinggalkan untuk kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengannya iaitu Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya”

kisah daripada hadith -bukhari muslim

Nabi s.a.w bersabda menceritakan kisah seorang lelaki yang diberi nikmat dunia oleh Allah ta’ala dengan harta yang mewah dan beberapa orang anak. Namun beliau tidak bersyukur dengan nikmat Allah ta’ala malah tenggelam dalam melakukan maksiat sepanjang umurnya. Lalai dengan nikmat duniawi sehingga lupa untuk menyediakan bekalan amalan ukhrawi.

Hinggalah tiba detik-detik berakhirnya ajal. Beliau berasa takut lantaran bekalan amalan akhirat yang tandus kering dalam hidupnya. Takut kepada azab neraka Allah yang menanti mereka yang mempersiakan hidup di atas muka bumi.

Lantaran ketakutan yang menyelubungi amat kuat, maka beliau merancang untuk melarikan diri daripada azab Allah. Beliau menyeru anak-anaknya dan menyatakan hasratnya. Kemudian memerintahkan supaya mayatnya nanti dibakar dan sebahagian abunya dilemparkan ke dalam laut dan sebahagian lagi diterbangkan ke udara.

Keadaan beliau dan anak-anak yang jahil dengan kekuasaan dan kekuatann Allah ta’ala mendorong anak-anaknya melaksanakan perintah tersebut dengan mudah. Dua dosa besar telah dilakukan oleh lelaki tadi. Pertama beliau menjadikan hidupnya sia-sia dengan maksiat. Kedua, kejahilan beliau bahawa Allah ta’ala mampu menghidupkan sesuatu dengan cara apa sekalipun.

Selepas daripada itu, Allah s.w.t memetintahkan laut dan darat supaya mengumpulkan jasad beliau dan Allah s.w.t bertanya: mengapa kamu lakukan semua ini? Beliau menjawab: lantaran teramat takut kepadaMu ya Rabb! Maka dengan rahmat Allah, diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu.